Ulasan Malaysiakini

Mana muslim tak mahu anak hafaz Quran?

Subky Latif  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN l Kita suka kalau anak hafal semua sajak Usman Awang atau mahir semua lirik lagi Siti Nurhaliza. Jika semua ibu bapa ditanya apa mereka pilih bagi anaknya antara hafal lagu Siti Nurhaliza dan hafaz Quran.

Ibu bapa yang muslim akan memilih hafaz Quran. Siti Nurhaliza tentu suka anaknya hafal semua lirik lagunya, tapi jika anak boleh hafaz Quran, tentu baginya ia lebih baik. Bahkan Datuk K yang gila dengan lagu Nurhaliza, merasa lebih bahagia jika anaknya dengan izin Allah boleh hafaz Quran dari hafal semua lagu isterinya.

Almarhum Datuk Aziz Singah seorang seniman wayang. Dihantarnya anak ke sekolah tahfiz dan khatam. Bahagia jenazahnya solatnya diimam oleh anaknya sendiri. Norman Hakim juga pernah jadi orang wayang dihantarnya anaknya menghafaz Quran di Turki.

Pada benak setiap ibu bapa muslim bercita-cita jika boleh setiap anaknya hafaz Quran. Biar anak itu jadi doktor, jurutera, pengurus bank, saudagar sekaya Robert Kuok, tapi yang eloknya itu juga hafaz Quran. Muslim yang tak betul otaknya saja tak suka anak cucunya hafaz Quran dan tak suka wujudnya sebarang maahad tahfiz.

Yang macam ini, bukan sekadar tak mahu anak cucunya jadi hufaz, anak orang lain pun jangan hafaz Quran. Demokrasi sekular memberi pilihan menyekolahkan anaknya di sekolah, sekolah Tamil atau sekolah Bangla. Jika ibu bapa memilih pondok atau sekolah tahfiz, itu hak mereka.

Demokrasi pendidikan membuat peruntukan perkepala untuk setiap anak Malaysia. Peruntukan itu ikut sekolah mana anak itu belajar. Kerajaan Umno pernah tidak menunaikan hak anak yang ke sekolah pondok. Laporan Jawatankuasa Murad Mohd Nor tentang kebakaran sekolah rakyat Padang Lumat, Yan mentakwil perkara itu.

Muslim apa jika mahu sekolah tahfiz ditutup. Ini mesti muslim Kamal Ataturk. Semua sekolah Arab ditutup. Quran naskah Usmani diharam. Yang dibenarkan Quran rumi. Orang Turki kata, dia tidak sekadar anti Islam, bahkan anti Turki, bangsanya sendiri.

Ataturk bertindak begitu supaya Turki diterima sebagai orang Eropah. Sampai hari ini Eropah tolak Turki masuk komuniti Eropah.

Ketika Turki menuju arah membuang Ataturk ke bakul sampah sejarah, ada orang Islam hendak jadi Ataturk kecil. Biarkan dia dengan labu-labunya.

Moga-moga roh Aziz Singah bahagia kerana ada sekolah anaknya hafiz. Anak yang hafaz itu membwa syafat kepada ibu bapa. Ada pendapat ulama mengatakan seorang hafiz membantu 20 keluarga terdekat menjadi ahli syurga. Moga-moga pendapat itu betul. Amin!

Turki sejak tahun 50-an menuju arah generasi al-Quran. Ribuan remaja hafaz Quran setiap tahun. Sebuah negara yang mundur beberapa dekad setelah kejatuhan empayr Othmaniah, kini ekonomi dan kewangannya antara yang terkukuh di Eropah. Generasi al-Quran dipercayai mengangkat ketahanan umat.

Yang kita mahu ialah syafaat dari penguasaan al-Quran. Semasa rombongan meminang anak saya, saya ditanya syarat peminangan. Maksudnya hantaran. Saya tidak meletak harga kerana bukan hendak menjual anak. Berapa kupang pun tak mengapa. Kalau bawa selori atau 60 kotak dinar emas, saya tidak marah.

Satu syarat kepada bakal besan, setiap cucu saya mesti jadi calon hufaz. Saya tidak tahu apakah syarat itu disampaikan oleh wakil rombongan kepada besan. Itu wasiat saya untuk cucu-cucu saya. Seramai hufaz yang boleh.


SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di Harakahdaily dengan judul yang sama.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.