Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa menyiasat dakwaan polis mengugut pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang jika bersetuju menyertai kempen derma darah yang dianjurkan parti pembangkang dua minggu lalu.
Dalam aduan Parti Keadilan Nasional bahagian Shah Alam ke suruhanjaya itu hari ini, polis didakwa "mendesak agar program derma darah yang dipersetujui oleh hospital itu dibatalkan."
"Pegawai polis tersebut yang bernama ASP Samsudin (satu nama) telah hadir berjumpa Ketua Unit Patologi dan meminta beliau membatalkan progran derma darah," kata Ketua Pemuda Keadilan bahagian itu SD Mohamad Johari Yasin kepada pesuruhjaya Prof Hamdan Adnan petang tadi.
"Kita juga mendapat maklumat daripada pegawai-pegawai hospital bahawa mereka menerima ugutan untuk tidak meneruskan program itu.
Program derma darah merupakan sebahagian aturcara 'karnival rakyat' Keadilan Shah Alam yang dijadual pada 4 dan 5 Ogos tetapi dibatalkan saat-saat akhir akibat kerahan polis besar-besaran.
Beberapa sekatan jalan raya di kawasan terbabit diadakan, termasuk laluan masuk dari arah Lebuhraya Kesas. Polis menjadikan kawasan sekolah di kampung tersebut sebagai pangkalan operasi. Beberapa ratus anggota pasukan keselamatan diberitakan dikerah mengawal di sekitar kawasan berkenaan.
Acara yang dirancang, selain kempen derma darah, termasuk solat subuh secara berjemaah, jogathon, hari keluarga, pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan ceramah politik pada sebelah malam.
Pemuda Keadilan juga menyeru badan itu menyiasat "campur tangan politik" dalam menentukan tindakan polis terhadap program-program anjuran parti pembangkang.
Polis ganggu ketenteraman awam
"Perbincangan dengan polis untuk mendapatkan permit bagi mengadakan karnival itu dibuat sejak 13 Jun lagi. Dari tarikh itu kami telah mengadakan dua atau tiga perbincangan lagi. Polis sendiri berjanji akan memberikan permit dan (mereka) pernah berkata permit itu telah diluluskan," kata aktivis pembangkang itu lagi.
Bagaimanapun menurut Mohamad Johari, beberapa hari sebelum program itu berlangsung Ketua Polis Daerah Klang ACP Karn Kam Peng dilaporkan berkata perhimpunan itu tidak mendapat permit dan orang ramai yang menyertainya, termasuk penganjur, akan dikenakan tindakan.
Menurutnya, yang tinggal berdekatan tapak program itu, bermula lebih kurang 5 petang 3 Ogos hingga 12 tengahari 5 Ogos, lebih kurang 70 anggota polis berhimpun di Lot 7362, Batu 7, Jalan Kebun, Klang bagi menghalang program itu.
Polis juga menempatkan 850 anggota berpakaian seragam, pasukan-pasukan Gerak Am dan antirusuhan, dua buah kenderaan meriam air (water canon) dan dua buah helikopter, tambah Mohamad Johari.
"Penempatan hampir 70 polis di Lot 7362 telah menyebabkan penduduk sekitar berasa kurang selesa dan terganggu. Maka kami mahu Suhakam menyiasat tindakan polis itu yang mengganggu ketenteraman awam," katanya, dan menambah sekumpulan penduduk melaporkan gangguan itu di balai polis daerah Klang dua hari lalu.
Suhakam juga disaran memantau program yang dianjurkan parti pembangkang agar polis tidak bertindak melanggar hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain laporan polis, turut dilampir bersama memorandum itu, satu laporan tentang kejadian itu yang dihantar kepada Pemangku Raja Selangor Tengku Idris Shah Sultan Salahuddin.
