Seorang hakim Mahkamah Rayuan mencadangkan supaya mahkamah tertinggi atau badan perundangan memberikan definisi lebih jelas mengenai siapa yang boleh ditakrifkan sebagai penjawat awam.
Hakim, Datuk Yeoh Wee Siam berkata demikian ketika merujuk saman misfeasans dalam pejabat awam seperti yang difailkan semula oleh setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.
Menurut hakim itu, Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam tuntutan saman yang difailkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan keputusan oleh dua mahkamah terdahulu bahawa Najib bukan penjawat awam.
Yeoh berkata demikian dalam penghakiman 20 muka surat yang dipersetujui oleh dua hakim Mahkamah Rayuan lain yang bersidang dengannya pada April tahun ini. Mereka mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan saman Pua.
Mahathir, bersama bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin, memfailkan saman terhadap Najib kerana salah laku misfeasans di pejabat awam dan melanggar tugas fidusiari pada tahun 2016, berikutan skandal 1MDB.
Setahun kemudian, Pua memfailkan saman misfeasans dalam pejabat awam terhadap Najib pada Januari 2017.
Pua mendakwa bahawa Najib adalah penjawat awam memandangkan bahawa beliau adalah ahli parlimen Pekan, perdana menteri dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB. Atas kapasiti itu, katanya, Najib mempunyai peranan langsung dalam 1MDB untuk meluluskan pelantikan dan menyingkir mana-mana kakitangan dalam syarikat itu.
Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membatalkan saman Pua dengan alasan Najib bukan penjawat awam.
Pada April tahun ini, panel Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi, dan termasuk Yeoh, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
