Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lawatan Dr M ke China bukan hanya runding semula projek mega'
Diterbitkan:  Jul 20, 2018 4:50 PM
Dikemaskini: Jul 21, 2018 10:09 AM

WAWANCARA | Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China bulan depan dijangka bukan hanya akan menangani isu perjanjian semula projek mega yang dimeterai kerajaan BN sebelum ini.

Dalam wawancara pertamanya selepas dilantik sebagai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata ini kerana Mahathir bukan sahaja merupakan Perdana Menteri Malaysia, tetapi juga pemimpin dunia yang sangat dihormati.

"Bagi kebanyakan orang, mereka mungkin fikir bahawa sebab utama lawatan ialah mengenai ECRL (Projek Keretapi laju Pantai Timur) dan projek mega yang lain di mana kerajaan sebelumnya telah menandatangani kontrak dengan China.

"Tetapi saya percaya Dr Mahathir bukan hanya perdana menteri Malaysia. Beliau juga sangat dihormati sebagai pemimpin di rantau ini," kata Saifuddin semasa wawancara di pejabatnya di Wisma Putra pada Rabu lalu.

"Oleh itu, lawatannya ke China bukan hanya mengenai (hubungan)China dan Malaysia. Saya fikir lawatannya ke China adalah sesuatu yang lebih besar daripada itu," kata ketua sekretariat Pakatan Harapan itu.

Mahathir sebelum ini mengumumkan penangguhan beberapa projek mega melibatkan syarikat-syarikat dari tanah besar China itu sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kerajaan.

Projek-projek ini termasuk ECRL dan dua saluran paip gas - Multi-Product Pipeline (MPP) di Melaka bernilai RM5.35 bilion dan saluran paip Gas Trans-Sabah (TSGP) bernilai RM4.06 bilion.

Ditanya sama ada Malaysia mempunyai kebimbangan bahawa keputusan itu akan menjejaskan hubungan dengan China, Saifuddin menegaskan kedua-dua kerajaan telah mencapai
persetujuan awal bahawa projek mega itu akan dirunding semula bagi mencapai penyelesaian lebih adil.

"Kedua-dua pihak juga memahami bahawa hubungan antara China dan Malaysia sudah terjalin ribuan tahun.

"Anda tidak boleh membiarkan tiga atau empat projek menyebabkan keputusan yang tidak diingini," kata Saifuddin sambil menambah perkara itu juga dibincangkan dalam pertemuannya sendiri dengan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Selain lawatan Mahathir, perdana menteri sendiri telah menghantar bekas menteri Tun Daim Zainuddin sebagai "utusan khas" untuk merundingkan semula pinjaman dan kontrak yang ditandatangani kerajaan BN sebelum ini.

Fokus pada perang perdagangan

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata isu-isu di luar hubungan dua hala Malaysia-China termasuk melihat bagaimana kedudukan China di kalangan kuasa besar global lain boleh memberi kesan ke atas Malaysia dan rantau Asia.

"Kami faham China sedang menghadapi perang perdagangan dengan Amerika, tetapi perang perdagangan bukan hanya antara AS dan China.

"Perang perdagangan adalah tentang kuasa-kuasa global. Jadi ia bukan tentang A melawan B. Ini adalah mengenai perdagangan dan pelaburan antarabangsa, mengenai keseluruhan arkitek kewangan. Jadi itu adalah isu yang lebih besar," jelasnya.

Dalam konteks ini, Saifuddin berkata rundingan Malaysia-China boleh mengenal pasti bidang kerjasama antara kedua-dua negara, sambil mengukuhkan kedudukan rantau ini secara keseluruhan.

"Jadi ini bukan mengenai Malaysia dan China bersama menentang negara lain.

"Saya fikir ia adalah (kepentingan) semua negara di dunia untuk memastikan perdagangan adalah adil dan dilakukan dengan cara yang membawa hasil yang bermanfaat kepada rakyat semua negara," katanya.

Selain hubungan perdagangan, para pemerhati menyatakan Malaysia di bawah pimpinan Mahathir juga lantang dalam isu pertikaian wilayah melibatkan Beijing di Laut China Selatan.

Laporan media menyatakan Malaysia menduduki sekurang-kurangnya lima terumbu batu karang di kawasan Spratly dengan kawalan TLDM yang termasuk dalam "garis sembilan" dituntut China di Laut China Selatan.

Bulan lalu, South China Morning Post memetik Mahathir sebagai berkata Malaysia mahu terus mengawal pulau dan terumbu berkenaan tetapi pada masa yang sama tidak akan membuat sebarang tuntutan baru terhadap pulau lain.

"China mendakwa Laut China Selatan adalah milik mereka, tetapi pulau-pulau itu telah dianggap sebagai milik kita untuk jangka masa yang panjang, jadi kita mahu mengekalkannya.

"Terdapat tugu yang kita telah bina di pulau berkenaan. Kita berharap kita akan memiliki pulau-pulau itu untuk menjaga keselamatan perairan kita daripada lanun dan lain-lain," akhbar di Hong Kong itu memetik Mahathir sebagai berkata.

Tiada kompromi mengenai keselamatan'

Ketika diminta mengulas mengenai bagaimana Malaysia mengekalkan pendirian lebih lantang mengenai isu pertikaian di wilayah itu, Saifuddin berkata kerajaan berhasrat mengambil pendirian tanpa menjejaskan isu keselamatan.

"Seperti yang disebut oleh perdana menteri, keselamatan adalah kepentingan melibatkan semua orang.

"Tetapi ada beberapa cara untuk melakukannya," kata Saifuddin, yang menegaskan Mahathir menyatakan matlamat Malaysia untuk menjaga keamanan di rantau ini tanpa kehadiran "kapal perang besar" di kawasan yang menjadi rebutan.

"Walaupun beliau (Mahathir) tidak menerangkan secara terperinci, tetapi saya fikir ia memberikan isyarat yang sangat penting bahawa kita berminat untuk menjaga keamanan wilayah ini," kata Saifuddin lagi.

Secara keseluruhannya, Saifuddin berkata Malaysia telah mengambil sikap bahawa semua negara yang terlibat harus dibenarkan memainkan peranan mereka untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Bagaimanapun peranan tersebur mesti ditakrifkan dengan baik dan dilaksanakan dengan cara di mana semua pihak dianggap sebagai "rakan kongsi yang sama" berbanding menjadi sebuah negara yang muncul sebagai kuasa dominan.

Bulan lalu dilaporkan bahawa pasukan tentera udara China telah mendaratkan pesawat pengebom di pulau dan terumbu di Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada latihan mereka - satu langkah yang mencetuskan kebimbangan di Vietnam dan Filipina.

Ketegangan terus meningkat apabila Amerika Syarikat menghantar kapal perang ke kawasan itu.

Mahathir, dipetik oleh South China Morning Post sebagai berkata bahawa satu cara untuk menjaga keamanan di kawasan yang dipertikaikan adalah agar kawasan itu dipantau kapal kecil berbanding kapal perang.

Manakala kapal-kapal kecil dari negara-negara Asean "dilengkapi peralatan untuk menghadapi ancaman lanun dan bukan untuk mencetuskan perang yang lain".

Lihat Komen
ADS