Gara-gara perselisihan faham dipercayai mengenai bekalan dadah, seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah empat rakannya di sebuah rumah di Tanjung Piandang dekat Bagan Serai awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata bagaimanapun tembakan itu tersasar dan suspek bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi di Batu 11, Jalan Sungai Baru, Tanjung Piandang.
Katanya sebelum kejadian, suspek dan keempat-empat rakannya itu telah berjumpa di rumah seorang daripada mereka namun berlaku perselisihan faham menyebabkan suspek keluar dari rumah itu dan memandu kereta jenis Toyota Vios menghala ke Kuala Kurau.
“Bagaimanapun kereta yang dinaiki suspek terbabas dan lelaki itu menghubungi seorang rakannya dari Kuala Kurau untuk mengambilnya di lokasi kemalangan sebelum dihantar pulang ke rumahnya.
“Suspek kemudian mengambil sepucuk pistol dan menunggang motosikal kembali ke rumah rakannya lalu melepaskan tembakan ke arah keempat-empat lelaki tadi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di Bagan Serai hari ini.
Omar Bakhtiar berkata suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal dan dikejar oleh keempat-empat rakannya itu yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum dia dilanggar dari belakang.
Katanya rempuhan itu menyebabkan suspek terjatuh dan mengalami kecederaan namun dia dapat melarikan diri sebelum diberkas orang awam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Batu 10, Jalan Pantai, Tanjung Piandang dan diserahkan kepada polis.
Beliau berkata pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson Para Bellum 9mm dan satu kelopak berisi dua butir peluru hidup kira-kira enam meter dari lokasi suspek ditahan.
"Kira-kira 9 pagi semalam, polis IPD Kerian berjaya menangkap empat lagi individu lelaki yang terlibat dalam insiden itu,” katanya sambil menambah kesemua suspek direman tujuh hari mulai hari ini.
Menurut Omar Bakhtiar, ujian air kencing mendapati kelima-lima suspek yang berusia 28 hingga 37 tahun terbabit positif dadah jenis metamfetamina dan seorang daripadanya mempunyai 14 rekod jenayah lampau.
Kes disiasat menurut Seksyen 8 dan 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, katanya.
- Bernama
