Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Australia mohon maaf kerana cadang 'lepas pandang' insiden MH17
Diterbitkan:  Jul 22, 2018 3:39 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

GLOBAL | Salah seorang anggota perlimen Australia dilapor memohon maaf kerana mencadangkan agar AS "lepas pandang sedikit" peranan Rusia dalam insiden melibatkan kapal terbang MH17.

Berdasarkan laporan The Guardian Khamis lalu, anggota parlimen Craig Kelly dipetik berkata dalam program radio, "Sekitanya ulasan saya itu diambil luar konteks dan digembar-gemburkan saya semestinya memohon maaf kepada semua pihak.

"Bagaimanapun, sangat mengecewakan bahawa orang mengambil kesempatan atas kenyataan saya untuk kepentingan politik dan menambah kesengsaraan yang dirasai anggota keluarga mangsa."

Kelly dilapor berkata dia tidak teragak-agak untuk mengatakan bahawa Rusia perlu "dikecam sepenuhnya" dalam penglibatannya berhubung insiden MH17. Namun, tegas Kelly, kenyataannya itu diputar belit oleh seteru politiknya.

Kelly pada Rabu lalu berkata "Jadi apa yang baik untuk masa depan yang berterusan, dan pada pendapat saya sangat baik jika pemimpin AS dan Rusia mempunyai hubungan komunikasi yang baik.

"Dan jika itu bererti ada beberapa tindakan Rusia sebelum ini perlu dilihat sedikit, saya mohon maaf. Itu harga yang kita perlu bayar kadang-kadang untuk mempunyai hubungan baik yang berterusan," katanya.

Ditanya pada Khamis lalu maksud sebenarnya, Kelly dilapor berkata insiden itu boleh dilepas pandang pada tahap yang perlu bagi memastikan Presiden AS Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin mempunyai hubungan kerjasama yang baik.

Kelly menafikan kenyataannya itu bererti memafkan Rusia dalam penglibatan berhubung insiden MH17.

MH17 ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine dan mengorbankan kesemua 298 penumpangnya pada 2014. Ketua polis siasatan jenayah Belanda mengesahkan misil yang digunakan adalah dari unit tentera Rusia.

Pasukan siasatan yang terdiri daripada penyiasat dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine mengenal pasti misil yang digunakan menembak kapal terbang itu adalah milik unit tentera Rusia.

Bagaimanapun, kumpulan penyiasat masih belum bersedia mengumumkan individu yang bertanggungjawab.

Rusia menafikan penglibatan dalam kejadian itu. Wisma Putra menyatakan komitmen untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa MH17 yang turut terdiri daripada 43 rakyat Malaysia dan 27 warga Australia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS