Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mohd Amar: Sayang menteri lihat isu warna kasut saja

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat, terdapat banyak isu lebih besar yang sepatutnya diberi perhatian oleh menteri pendidikan berbanding isu warna kasut sekolah.

Mohd Amar berkata, Dr Mazslee Malik diberi pengharapan yang tinggi oleh rakyat memandangkan Menteri Pendidikan itu seorang muda yang terkenal mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dan bekas pensyarah.

"Tetapi, sayangnya menteri kita hanya melihat warna kasut sahaja. Itu bagi saya satu kejutan, sebab ada isu yang lebih besar.

"Saya mengharapkan perubahan yang besar terhadap dasar dan sistem pendidikan negara bukan setakat tukar warna kasut sekolah.

"Sebab rakyat juga mengharapkan perubahan yang besar daripada kerajaan baru. Tiba-tiba warna kasut saja yang ditukar," katanya kepada media ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Sekarang hanya tekan aspek peperiksaan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan menteri pendidikan sebelum ini yang mensyaratkan penggunaan kasut hitam di kalangan pelajar sekolah seluruh negara mulai tahun depan.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, banyak lagi isu-isu lebih besar dalam pendidikan negara dan menteri sepatutnya fikirkan pendekatan dan pemerhatian menyeluruh dengan menangani isu yang lebih besar.

Malah jelas beliau, isu warna kasut tidak sepatutnya menteri yang isytihar.

"Antara isu (besar) lain ialah dasar pendidikan negara, apakah dasar kita selari dengan sistem persekolahan. Adakah kurikulum sekolah yang ada menuju ke arah falsafah pendidikan negara?

"Satu lagi beban kerja guru-guru si sekolah yang terlalu banyak, cikgu dah jadi macam kerani. Kerja asas mengajar tiba-tiba banyak buat kerja kerani, kena isi borang itu, borang ini. Ini patutnya ditekankan oleh menteri," ujarnya.

Selain itu tambah anggota dewan undangan negeri (DUN) Panchor itu, menteri juga perlu melihat sama ada pendekatan pendidikan kini boleh membentuk peribadi pelajar untuk menjadi warganegara yang baik atau sebaliknya.

"Kalau orang Islam sebagai seorang Islam yang bagus. Ini kena tekankan.

"Sekarang ini kita terlalu beri penekanan kepada aspek peperiksaan, sehingga kita lupa untuk membentuk sahsiah pelajar," jelas Mohd Amar.

Lihat Komen
ADS