Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lokman akan jumpa pemimpin PAS untuk kempen bersama

PRK SG KANDIS | Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS di kawasan berkenaan sebagai salah satu usahanya untuk mengajak parti itu bersama-sama BN mendekati pengundi Melayu.

Beliau berkata, perjumpaan itu berkemungkinan akan dilakukan pada minggu ini.

"Saya dah berhubung dengan rakan-rakan daripada PAS, kepimpinan Umno sendiri sedang mengadakan rundingan, ada kemungkinan kalau boleh kita nak jumpa dengan semua Ketua PAS cawangan di sini (Sungai Kandis) untuk berkempen bersama-sama.

"Tapi untuk beberapa hari terawal ini saya memfokuskan untuk berjumpa dengan pemimpin BN di sini (Sungai Kandis) terlebih dahulu, mungkin Rabu atau Khamis nanti baru saya akan pergi berjumpa pemimpin PAS," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Klang hari ini.

Undi pembangkang tak pecah

PAS sebelum ini memutuskan untuk memberi laluan kepada Umno bertanding satu lawan satu dengan PKR bagi memastikan undi pembangkang tidak berpecah.

PRK DUN Sungai Kandis ditetapkan pada 4 Ogos ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Lokman Noor ditentang calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K. Murthy.

Sementara itu Lokman Noor berkata, isu kesukaran mendapatkan lesen perniagaan menjadi antara fokusnya jika diberi mandat dalam PRK itu kelak.

"Semasa saya melakukan lawatan di pasar pagi di sini, ramai peniaga menyuarakan rasa tidak puas hati kerana sukar mendapatkan lesen perniagaan.

"Mereka juga mengadu bahawa terdapat ramai warga asing berniaga sehingga menjejaskan peluang rakyat tempatan. Kerajaan negeri perlu bertindak tegas bagi mengatasi masalah ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS