Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Debat Zakir-Ramasamy, Mujahid sedia jadi orang tengah
Diterbitkan:  Jul 22, 2018 6:18 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sedia menawarkan diri menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan konflik pertikaian antara penceramah agama terkemuka Dr Zakir Naik dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan setelah pihaknya menganggap penganjuran debat melibatkan dua tokoh itu secara terbuka tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat negara ini yang berbilang agama dan kaum.

Beliau berpendapat penganjuran pertemuan antara Zakir dan Ramasamy sebaiknya diadakan secara tertutup dengan beliau sendiri bersedia menjadi orang tengah bagi menjernihkan isu itu.

"Dalam suasana masyarakat negara ini yang berbilang bangsa dan agama, perdebatan secara terbuka antara dua tokoh itu bagi menentukan siapa lebih ekstremis dibimbangi akan mencetuskan ketegangan agama dan kaum.

"Ini kerana segala pertuduhan dikemukakan terhadap Zakir masih belum disahkan di negara beliau sendiri iaitu India. Jadi, saya fikir Zakir mempunyai hak untuk tinggal di negara ini selagi mana beliau mematuhi undang-undang negara," katanya pada sidang media di Parit Buntar hari ini.

Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas isu cadangan penganjuran perdebatan secara terbuka antara Zakir dan Ramasamy oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Ini susulan cadangan Ramasamy yang juga Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, supaya Zakir dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dan negara itu tidak terjejas.

Sebelum ini, Zakir difahamkan bersetuju berdebat secara terbuka dengan Ramasamy dengan bersyarat.

Ramasamy juga dilaporkan meletakkan syarat untuknya berdebat dengan Zakir seperti dicadangkan, namun pendakwah itu diminta pulang ke negaranya terlebih dahulu bagi menghadapi dakwaan dan membersihkan namanya.

Sebelum ini beberapa portal berita melaporkan Zakir, yang akan dihantar pulang ke India kerana didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram, meninggalkan India pada 2016.

Kerajaan India telah membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan agar hadir di Badan Penyiasat Kebangsaan India bagi membantu siasatan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS