Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

PRK SG KANDIS | Walaupun pembangkang BN dan PAS mendakwa kepentingan Melayu-Islam tergugat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN), namun tinjauan umum di kawasan pilihan raya kecil ini mendapati hal tersebut tidak terlalu menjadi kegusaran pengundi, meski ada juga suara yang tidak berpuas hati.

Syed Zulkarnain Syed Idris, 47, seorang jurutera komunikasi memberitahu Malaysiakini masih terlalu awal untuk mengadili kerajaan pentadbiran HARAPAN.

Syed Zulkarnain berkata setakat hari ini beliau tidak merasakan sebarang gangguan terhadap hak dan kepentingan Melayu-Islam di negara ini.

“Baru sangatlah, positif atau negatif tak ada nampak lagi. Tapi apa yang pasti dia mengganggu pun tidak, menambah baik pun tak ada lagilah setakat ini,” katanya.

Nafi HARAPAN tindas Melayu-Islam

Seorang lagi jurutera komunikasi yang enggan namanya dikongsikan juga turut mengakui perkara yang sama.

“Selagi tak melanggar perlembagaan saya okey,” kata jurutera muda yang ditemui Malaysiakini itu.

Idris Suwardik, 56, seorang peniaga pula menafikan kerajaan HARAPAN menindas Melayu dan Islam.

Sebaliknya, tegas Idris apa yang diperkatakan itu berlaku sewaktu pemerintahan BN dibawah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Yang saya nampak sekarang ini bila saya bangun pagi ada harapan, kalau dulu masa zaman Najib makin hari makin gelap.

“Makin lama makin tak nampak, saya harap makin hari semakin cerah tapi tak cerah-cerah,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Idris yakin pentadbiran Tun Mahathir hari ini telah membawa banyak perubahan yang jelas ke arah kebaikan.

“Sekarang ini saya nampak Tun Mahathir banyak bawa perubahan dan dari mula dulu dia jadi perdana menteri pun dia bawa banyak perubahan dan kali kedua ini pun saya nampak banyak perubahan.

“Jadi, saya tak nampak dia (Dr Mahathir) akan menindas agama Islam dan orang Melayu kita," katanya.

Baru-baru ini timbul dakwaan kepentingan Islam dan Melayu mula terhakis dibawah pentadbiran HARAPAN apabila kerajaan melantik ketua hakim (CJ) dan peguam negara (AG) daripada bukan kalangan Islam.

Malah, ada sesetengah pemimpin pembangkang menyifatkan ia tindakan yang tidak wajar dan dianggap tidak mampu dan bersedia memartabatkan kedudukan dan peranan Islam sebagai agama persekutuan serta melindungi hak Melayu.

Bagaimanapun, Idris berkata beliau percaya pelantikan tersebut tidak menjadi masalah kepada dirinya.

"Malah, saya setuju dengan pelantikan ketua hakim negara dan peguam negara dari kalangan bukan Islam, kerana apa yang dilakukan ini pastinya sudah difikirkan dengan panjang.

“Itu tak jadi masalah bagi kami, sebenarnya orang Islam itu sendiri yang tak Islam (apabila membantahnya) dan atas sebab mereka ini Islam menggunakan adat dari yang sepatutnya ada dalam al-Quran dan sunnah,” tambahnya.

Namun demikian, tidak semua yang ditemu bual merasa terjamin dengan pentadbiran HARAPAN.

'Umno memerintah rasa terjamin'

Seorang bekas pesara kakitangan awam, Mohd Rizal Mohd Sharif, 45, ketika ditemui Malaysiakini berkata beliau sukar untuk berkongsi apa yang dirasakannya sekarang.

Namun, menurut Mohd Rizal apa yang berlaku hari ini jelas berbeza sewaktu pemerintahan BN dan beliau yakin ketidakpuasan hati rakyat ini akan terzahir pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

“Nak cakap pun payah, apa yang pasti ia berbeza sangat sekarang ini. Dulu masa Umno memerintah kita rasa terjamin tapi sekarang tidak.

“Jadi, kita tunggu sajalah PRK (Sungai Kandis) ini,” katanya.

Manakala itu, Amad Hamdan Jemiran, 45, seorang pekerja swasta pula berkata wartawan sendiri tahu jawapannya.

“Awak sendiri dah tahu jawapannya,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS