Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis - suka atau tidak - merupakan medan ujian yang sangat getir buat Pakatan Harapan (HARAPAN), terutama salah satu parti komponennya, PKR.

Tidak ada sesiapa yang mahu akan PRK ini. 'Inai' istimewa dihadiahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum hapus dari jari kebanyakan orang.

Jika boleh diibaratkan dengan pernikahan, sekarang ialah fasa menikmati bulan yang melimpah-limpah madunya.

Tiba-tiba atas kehendak Yang Maha Kuasa kerusi itu kosong. Mahu atau tidak PRK ini perlu diadakan. Jika tidak, amalan demokrasi akan ternafi.

Maka PKR berdepan dengan cabaran getir daripada calon Umno. Bukan calang-calang orang pula. Datuk Lokman Noor Adam ialah seorang pemikir yang memiliki ilmu makrifat yang jarang-jarang ada pada orang lain.

Jika tidak, tidak mungkin Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sanggup mengambil beliau menjadi salah seorang panel pemikir mereka.

Lihat saja senarai pemikir badan yang diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia tersebut. Sebelum ini menterinya juga seorang pemikir agung. Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak namanya.

Ilham masa depan

Dengan jasa JASA taraf hidup rakyat meningkat dengan drastik dan ketara suatu ketika dulu. Bermacam-macam buah fikiran mereka yang terpacul dari semasa ke semasa dan dalam banyak keadaan ia memang tidak terjangkau oleh akal orang yang waras.

Selepas HARAPAN membubarkan JASA, keadaan negara nampaknya mula tidak tentu arah. Semuanya gara-gara kita tiada pemikir seperti Lokman dan kawan-kawannya.

Mujurlah jasa mereka tetap terpahat dalam ingatan.

Jika itu belum cukup menggerunkan HARAPAN, lihat pula strategi ampuh yang diambil oleh satu lagi parti yang sudah sekian lama menjadi kingmaker dalam politik negara.

Jika Umno mempunyai seorang pemikir bernama Lokman, PAS pula tidak kurang hebatnya. Bukan satu malah ada ramai pemikir yang sedang meneliti, menganalisis dan merangka strategi yang jauh ke depan.

PAS tidak menurunkan calonnya di Sungai Kandis. Ia adalah langkah yang luar biasa mantiknya. Namun PAS tidak berdiam diri sebaliknya menawarkan penyelesaian yang matang dan sejahtera.

Mereka menyajikan formula luar kotak bernama Asalkan Bukan Pakatan Harapan (ABAH). Entah bagaimana ilham itu lahir belumlah kita ketahui asal-usulnya tetapi yang pasti ABAH ialah idea zaman, dan diungkapkan pula oleh salah seorang pemimpin masa depan PAS yang paling cerah iaitu Nasrudin Hassan Tantawi.

"Macam mana datang ABAH kalau ia akronim daripada Asalkan Bukan Pakatan Harapan?" tanya seorang peminat politik dan rancangan Raja Lawak kepada saya semalam.

Sepatutnya, kata dia, kependekan frasa itu mewujudkan ABPH.

Terkenang bekas menteri

Tapi di situ silapnya orang yang tidak memahami ilmu mantik dan politik PAS. Ia tidak selamanya diikat oleh logik akal manusia biasa.

Sebagai kumpulan yang beramal dengan politik matang dan sejahtera kadang-kadang langkah mereka pun tidak dapat difahami, apa lagi untuk mewujudkan akronim yang padu sebegitu.

Bayangkan bagaimana minda hampir 51,000 pengundi di Sungai Kandis akan dibentuk dengan idea Nasrudin itu. Bayangkan juga berapa puluh ribu orang di Sungai Kandis memanggil bapa mereka dengan perkataan "abah" sekarang?

Justeru setiap kali mereka menyebut "abah" minda mereka akan segera teringat kepada PAS. Lebih penting mereka akan tunduk dan akur kepada petua ABAH Nasrudin.

(Pada masa sama orang ramai juga akan semakin pula kepada susuk seorang ahli politik bertaraf menteri yang suatu ketika dulu galak memanggil dirinya sendiri di Twitter sebagai "abah" juga.)

Masalahnya sekarang cuma satu. Ramai pengundi Sungai Kandis dipercayai mahu mengundi PAS seperti dibuktikan oleh keputusan PRU14 lalu. Bagaimanapun PAS tidak meletakkan calon kali ini.

Kerusi Sungai Kandis malang kerana terlepas daripada tuah yang dibawa calon PAS, sama seperti apa yang mereka lakukan di beberapa kerusi lain pada 9 Mei lalu.

Di kerusi ditandingi Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, misalnya. Atau lebih dekat dengan Sungai Kandis, kerusi dewan undangan negeri Sungai Udang di Melaka.

Mengapa PAS tidak meletakkan calon di Sungai Kandis? Sebab PAS tidak mahu melihat Melayu berpecah. Pada PRU14 dulu pun PAS menyeru agar Melayu bersatu tetapi pengundi tidak mendapat mesej itu dengan jelas sehingga PKR yang menang.

Ceramah sebagai pelengkap

Kali ini Nasrudin memberikan satu petua yang lebih mudah dan tidak memerlukan mantik yang tinggi, iaitu ABAH. Pengundi mesti memilih untuk memenangkan Melayu dan Islam. Justeru cara terbaik untuk itu ialah membiarkan PKR dan Umno saja bertanding.

Siapa lagi yang dapat membela Melayu dan Islam kalau bukan parti yang itu, kan?

Untuk menarik sokongan PAS dan Umno bolehlah bermuzakarah segera bagi mengatur rancangan berdepan dengan jentera HARAPAN.

Melalui pentas ceramah misalnya mereka boleh menampilkan banyak bakat hebat yang ada sekarang. Memanglah Datuk Seri Jamal Md Yunos mungkin akan ada masalah untuk jadi penggerak kerana beliau sendiri ada perjuangannya yang belum diselesaikan.

Tetapi tanpa Jamal, Umno ada Datuk Razlan Rafii yang segak dan cerdas itu. Di kalangan penghibur juga ada ramai. Siapa yang boleh melupakan Mat Over dan Datuk Rosyam Nor yang berani itu?

Inilah masanya untuk Umno membawa mereka menjadi tenaga penggerak kempen di Sungai Kandis. Selepas itu lengkapkan pula gerak kerja itu dengan ceramah-ceramah tak rasmi di kalangan ustaz-ustaz PAS.

Ia sama sekali tidak bercanggah dengan pelan parti itu. Seperti kata setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan yang mengesahkan jentera parti akan digerakkan untuk membuat persiapan PRU15, langkah tersebut memang sesuai sangatlah.

Jika anda lupa, mari kita ingatkan semula satu dua peristiwa penting dalam politik menjelang PRU14.

Pertama, PAS yakin parti itu akan semakin kuat apabila bersendirian.

Kedua, Selangor menjadi satu daripada negeri yang disasarkan oleh PAS untuk bertapak sebagai kerajaan.

Maka sekarang PAS terbukti sangat kuat. Parti itu tidak perlu meletakkan calon namun orang ramai biasanya faham mereka tetap terlibat secara tidak langsung di Sungai Kandis.

Belum 100 hari PRU14 berlalu dan PAS sudah memantapkan jentera mereka untuk menghadapi PRU15 pula. Sungai Kandis menyaksikan bagaimana parti itu menyusun langkah dengan pintar untuk sekurang-kurangnya menjadi kerajaan pada masa depan.

Bukan sebarangan parti mampu berbuat begitu. ABAH Nasrudin ialah kuncinya. Jika tidak Sungai Kandis akan dikenang orang sebagai tempat Umno dan PAS terkandas.

Ketika artikel ini hendak dimuat naik, tiba-tiba tersedar bahawa ABAH sebenarnya lebih tepat jika merujuk sebagai Asal Bukan Abdul Hadi. Tapi mungkin, pencetus idea asal sudah mempertimbangkan perkara ini. Genius.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS