Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam menegaskan beliau bukanlah seorang rasis, seperti didakwa sesetengah pihak.

Katanya, tindakan beliau berhubung beberapa perkara sekadar untuk menegakkan Perlembagaan Malaysia, seperti dalam isu hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa serta raja-raja Melayu.

“Sesetengah orang beranggapan bahawa saya rasis. Saya tidak rasis. Saya cuma menegakkan apa yang terkandung dalam perlembagaan.

“Jadi, masyarakat bukan Melayu perlu sedar bahawa kewujudan orang seperti saya akan memastikan keamanan terus kekal,” katanya kepada Malaysiakini.

Lokman yang juga presiden Pemantau Malaysia Baru berkata, keamanan disaksikan di era BN kerana pihak yang mencabul hak dalam perlembagaan itu akan terus ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuatkuasa.

Beliau membangkitkan isu bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan Datuk A Kadir Jasin yang mendedahkan dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertua Agong baru-baru ini.

“Perkara sebeginilah yang menyebabkan orang Melayu marah dan Kadir meletakkan jawatannya dalam majlis itu tetapi tidak ditangkap sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, Lokman juga mendakwa institusi berkaitan Islam turut digugat, seperti dakwaan pusat tahfiz dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan ditutup.

Sementara itu, Lokman juga yakin dengan peluangnya pada 4 Ogos ini setelah bertemu banyak pihak.

“Saya sudah berjumpa dengan pimpinan PAS negeri, kawasan serta Umno dan responnya kelihatan positif.

“Selain itu, kita akan mendapatkan sokongan daripada masyarakat India dan NGO India di kawasan ini dan juga berharap MCA dan GERAKAN dapat memainkan peranan supaya menurunkan ahli mereka yang menyokong kita,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lokman Noor, calon PKR Zawawi Mughni dan calon bebas K Murthy.

Ia diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Lihat Komen
ADS