Terjemahan Video klip yang dirakamkan melalui telefon bimbit, yang menunjukkan seorang tahanan wanita dipaksa bertelanjang bogel dan melakukan 'ketuk ketampi' di sebuah balai polis, telah mencetuskan gesaan pihak pembangkang dan penyokong kerajaan supaya tindakan diambil terhadap pihak polis terbabit.

"Ini tidak sepatutnya berlaku. Jika anggota polis benar-benar terbabit, ini adalah penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid dalam satu sidang akhbar selepas menyaksikan klip video tersebut.

Katanya, pihak polis mesti menyiasat dengan segera kes tersebut dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

"Bagaimana kalau ini berlaku kepada pelancong yang datang ke Malaysia selepas mereka ditangkap [...] tetapi mereka sudahpun dihukum melakukan ketuk ketampi seperti ini. Saya pasti jika ianya dibuktikan, pihak kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Klip video selama satu minit 11 saat itu adalah dalam format MMS (Multimedia Messaging) yang ditunjukkan kepada beberapa ahli Parlimen serta para wartawan oleh ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di lobi Parlimen pagi ini.

Klip tersebut menunjukkan seorang wanita bogel melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali di depan seorang anggota polis wanita di tempat yang kelihatan seperti bilik locker di sebuah balik polis. Tahanan yang tidak dikenali itu kemudiannya memakai semula seluar dalam, coli dan pakaiannya.

Tidak jelas siapakah yang merakamkan klip tersebut, yang kelihatan seperti diambil tanpa pengetahuan wanita tersebut melalui tingkap.

Ketika itu turut kedengaran suara orang sedang mengaji al-Quran.

Foto dari klip tersebut telah disiarkan di muka depan sebuah akhbar berbahasa China China Press. Malaysiakini menyiarkan versi klip video yang sudah diedit selama 20 saat.

' Ianya memalukan'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, klip tersebut jelas menunjukkan bahawa tuduhan oleh beberapa wanita rakyat China menerima layanan buruk oleh pihak polis, adalah benar.

"Ia memang berlaku. Ia amat memalukan. Ia hanya mengesahkan bahawa perkara seperti ini memang berlaku di negara ini...amat memalukan," katanya ketika ditemui.

Katanya, beliau akan menunjukkan klip video itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibincangkan dalam mesyuarat kabinet minggu depan.

Katanya, prosidur sepatutnya perlu dipatuhi sekiranya pihak polis merasakan perlu untuk mengarahkan seseorang menanggalkan pakaiannya.

"Ia sepatutnya dilakukan di depan doktor atau pegawai tinggi. Bukan semua anggota polis boleh mengarahkan seseorang itu tanggal pakaian. Jika anda hendak menanggalkan pakaian seseorang, anda mesti pastikan ia dilakukan di tempat yang tertutup. Anda tidak boleh mengarahkan wanita itu menanggalkan pakaian di mana-mana sahaja," katanya.

Jadi sasaran

Dalam satu sidang akhbar, Kok dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang berkata, beliau percaya wanita dalam klip video itu bukan salah seorang daripada wanita rakyat China yang membuat aduan terhadap pihak polis Petaling Jaya kerana mendakwa ditahan secara tidak sah, di samping mengarah mereka menanggalkan pakaian dan penyalahgunaan kuasa.

"Tetapi adakah ianya sudah menjadi satu kebiasaan bagi pihak polis mengarahkan tahanan menanggalkan pakaian dan melakukan ketuk ketampi?" soalnya, yang turut merujuk kepada kes seorang mak nyah, Mumtaz, yang didakwa turut dipaksa menanggalkan pakaian ketika dalam tahanan polis, di Ipoh.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmi berkata kabinet telah mengarahkan beliau supaya meyakinkan kerajaan China bahawa wanita rakyat republik itu tidak menjadi sasaran dan pemeriksaan ketat di Malaysia.

Katanya, beliau akan berlepas ke China minggu depan untuk memperbetulkan persepsi bahawa pihak berkuasa Malaysia mensasarkan rakyat China, terutama yang berusia di bawah 35 tahun.

"Saya juga telah mengarahkan satu pejabat dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memantau keadaan terutama ketika kedatangan ramai pelawat asing," katanya. Berita asal


Klik di sini untuk melihat klip video. Jelas dilihat dengan broadband.