Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran menafikan bapanya mendominasi pusat servis beliau seperti yang ditular dalam media sosial.
Menurut Prabakaran, 22, bapanya merupakan seorang ahli perniagaan hanya menyelaras pusat servisnya kerana kekurangan staff.
"Buat masa ini, pejabat saya hanya mempunyai empat orang staff sahaja. Saya berjumpa dengan penduduk parlimen Batu pada hari Khamis dan Jumaat. Jadi, bapa saya menyelaras pejabat saya,"
"Pusat servis saya masih dalam pengubahsuaian. Saya akan berpindah ke pusat servis baharu pada awal bulan depan," kata beliau kepada Malaysiakini.
Beliau juga menjelaskan pusat servisnya sekarang menumpang di pejabat PKR, di Taman Dato Senu, Sentul.
MP paling muda
Prabakaran mencatat sejarah sebagai Ahli Parlimen paling muda dalam sejarah negara, selepas mengalahkan tiga pencabarnya, Dominic Lau Hoe Chai daripada BN, Azhar Yahya (PAS) dan VM Panjamothy (Bebas) pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).
Prabakaran membuat pencalonan sebagai calon bebas dipilih menjadi calon Pakatan Harapan selepas penyandang kerusinya Tian Chua SPR menolak beliau bertanding pada PRU14 lalu.
Beliau merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di sebuah pusat pengajian swasta berkata walaupun menang dalam pilihan raya umum, sumber beliau sangat terhad sehingga meminta bapanya membantu untuk menyelaras pusat servis.
"Saya menang sebagai calon bebas walaupun mendapat sokongan Pakatan Harapan. Maka, sumber saya sangat terhad.
"Kebanyakan masa, beliau (bapa) berada di pusat servis untuk membantu kes-kes membabitkan kebajikan, isu rumah dan sebagainya. Selain, bapa saya, staff lain di pejabat saya turut membantu penduduk parlimen Batu," kata beliau.
Sering berbincang dengan bapa
Prabakaran berkata bapanya sering berbincang dengannya dan menerima panggilan daripada pengundi.
"Tuduhan bapa saya mendominasi pejabat saya tidak benar sama sekali. Beliau sentiasa berbincang dengan saya. Saya juga sering menerima panggilan daripada pengundi yang membawa pelbagai isu kepada saya.
"Saya juga sentiasa berbincang dengan ahli-ahli parlimen yang lain untuk memudahkan tugas saya," katanya.
Terdahulu, sejak dua hari yang lalu, beberapa individu dari kawasan parlimen Batu dilaporkan membuat aduan terhadap bapa Prabakaran mendakwa beliau sering mencampur tangan dalam isu-isu pusat servisnya.
Beliau juga dituduh sebagai enggan memberi kebenaran kepada para pengundi berjumpa dengan ahli parlimen.
'Pengundi dakwa tak dibenar bertemu'
Prabakaran berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pengundi Batu yang mendakwa bapa Parabakaran menguasai anggota parlimen berkenaan.
Salah seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Rajendran mendakwa beliau tidak dibenarkan bertemu wakil rakyat itu.
"Saya pergi ke pejabat YB berharap dalam menyelesaikan isu mengenai rumah DBKL saya.
"Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan (ayah Prabakaran daripada) bertemu beliau (MP Batu). Saya meminta nombor telefon YB tetapi tidak diberikan. Saya dapat tahu orang lain juga mengalami situasi yang sama," katanya kepada Malaysiakini.
