Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof akan menganjurkan pertemuan tertutup antara mufti Perlis dan P Ramasamy berhubung dakwaan timbalan ketua menteri ll Pulau Pinang itu terlibat dalam gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menurut Mujahid, pertemuan antara Ramasamy dan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu dijangka diadakan pada bulan ini dan mencadangkannya dibuat di Putrajaya.

"Dua hari lepas saya berhubung dengan Ramasamy dan saya juga telah berhubung dengan Dr Maza (Mohd Asri Zainul Abidin).

"Saya baru dapat berita yang baik tadi daripada kedua-dua pihak. Mereka bersetuju untuk bertemu dengan saya sebagai orang tengah dan ia tertutup," katanya kepada media di parlimen hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut Mujahid berkata langkah mengadakan pertemuan itu secara tertutup dibuat selepas melihat kesan ia diadakan secara terbuka.

"Kami melihat kesan kalau ia dibuat secara terbuka ia lebih buruk," katanya.

Menurut Mujahid lagi, apa yang penting ialah menamatkan segala tuduhan liar berkaitan dakwaan terhadap Ramasamy dan mencari penyelesaian.

"Selagi mereka (Ramasamy dan Mohd Asri) tidak bertemu selagi itu diedarkan dan ditularkan (dakwaan)," kata Mujahid lagi.

Sebelum ini Ramasamy didakwa dikaitkan menyokong LTTE.

Ekoran itu, Mohd Asri menggesa agar pemimpin DAP Pulau Pinang itu menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun anggota dewan undangan negeri Perai itu menafikan dakwaan menyokong LTTE.

Ramasamy berkata beliau menyertai misi keamanan di antara Colombo dan LTTE sekitar 2003 dan 2006.

Dalam tempoh itu juga Ramasamy turut menyertai misi keamanan di Aceh.

Dakwaan terhadap Ramasamy timbul selepas beliau mengkritik Putrajaya yang enggan mengekstradisi penceramah kontroversi Zakir Naik ke India.

Lihat Komen
ADS