Paling Popular
Terkini

ULASAN | Selepas mengumumkan menarik diri daripada bertanding di PRK Sungai Kandis, PAS telah membuat satu lagi kenyataan yang jelas bahawa undi ahli parti dan penyokongnya di Sungai Kandis adalah tidak kepada calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

PAS juga dalam kenyataannya tidak memberikan kata putus atau memastikan ahlinya mengundi calon BN yang diwakili oleh Umno.

Mengapa? Jawapannya BN bukanlah rakan gabungan politik PAS dalam Gagasan Sejahtera. Jadi, tiada arahan wajib yang memestikan ahlinya mengundi Umno BN.

Sebaliknya, PAS yakin dengan kebijaksanan ahlinya di dalam membuat pilihan dan mengundi yang terbaik. Petunjuknya adalah:

Mengundi adalah satu kewajipan demi kebaikan negara yang memerlukan pemimpin yang baik untuk menerajuinya. Justeru PAS menyeru ahlinya agar keluar mengundi.

Arahan PAS adalah menolak kerajaan HARAPAN. Sikap dan pendirian PAS terhadap HARAPAN adalah sama, sama ada sebelum atau selepas PRU ke-14, iaitu menolak mereka.

Bagi PAS, HARAPAN bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Ancaman terhadap kedaulatan agama Islam, keadaan ekonomi dan sektor-sektor lain yang tidak stabil selepas PRU ke-14 semakin membuktikan benarnya pendirian PAS.

Kegagalan awal kerajaan HARAPAN untuk mengotakan janji-janji awal manifesto, beberapa kenyataan oleh pemimpin utamanya yang berbelit-belit bagi menjustifikasikan kegagalan mereka mengotakan janji itu, kegagalan mengawal prestasi ekonomi negara yang semakin perlahan.

Selain itu, tindakan dan kenyataan demi kenyataan oleh pemimpinnya yang mengelirukan dan boleh menggugat kerukunan perlembagaan dan Islam adalah menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan HARAPAN hari ini.

Umno abang PAS yang lupa diri

Kehendak HARAPAN untuk menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU akan datang adalah jelas melalui ucapan beberapa pemimpin utamanya.

Mengundi HARAPAN bererti menyuburkan dan membengkakkan lagi nafsu mereka untuk mengalahkan PAS. Ertinya, tindakan ahli PAS mengundi HARAPAN adalah seperti menikam diri sendiri.

Umno telah hilang nafsunya untuk mengalahkan PAS. Tiada kenyataan yang zahir dan tindakan yang nyata oleh pemimpin utamanya yang menunjukkan sedemikian.

Ertinya, Umno bukan lagi ancaman yang utama kepada PAS hari ini. Malah, beberapa petunjuk baru menunjukkan parti itu sedang berusaha memperbaiki hubungannya dengan PAS. PAS amat mengalu-alukannya.

Ada yang berhujah menghentam PAS dengan berkata PAS berusaha menghidupkan Umno. PAS hanya bersandiwara, kata mereka.

Saya berkata, PAS menghidupkan Umno dengan memberi kesedaran kepada Umno dengan Islam. Umno adalah abang PAS yang lama lupa diri akibat terlalu lama di anjung kuasa.

Kesedaran Umno adalah kekuatan kepada PAS untuk memastikan Islam lebih berdaulat di bumi ini. Islam memerlukan umatnya sendiri untuk bangkit mempertahankan agamanya.

Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa PAS mendorong ahlinya mengundi Umno? Saya jawab - Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami.

Selamat mengundi demi agama dan negara.


NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ ialah anggota Jawatankuasa Pusat PAS dan anggota parlimen Bachok.

Kenyataan ini dimuatkan di Facebook beliau dan merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS