Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lembaga pengarah Khazanah tawar diri letak jawatan
Diterbitkan:  Jul 26, 2018 9:38 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

Khazanah Nasional Berhad mengesahkan bahawa ahli lembaga pengarahnya menawarkan diri untuk meletakkan jawatan mereka.

"Ini dilakukan untuk memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baru," kata Khazanah dalam satu kenyataan hari ini.

"Lembaga pengarah sekarang telah diberi penghormatan untuk berkhidmat, dan merasakan sesuai untuk menawarkan kepada kerajaan baru budi bicara dan mengesahkan hak prerogatif untuk membentuk lembaga pengarah baru," tambahnya.

Syarikat induk cabang pelaburan kerajaan itu berkata ia akan mengeluarkan kenyataan lanjut sebaik sahaja mempunyai butiran mengenai pembentukan semula lembaga pengarahnya.

Pagi ini Strait Times melaporkan bahawa lembaga pengarah Khazanah telah menandatangani dan menghantar surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh ke Putrajaya.

Mereka yang berbuat demikian ialah Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Nor Md Yusof.

Ia turut disertai ahli lembaga pengarah lain iaitu Datuk Seri Nazir Razak, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Datuk Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Khazanah telah menyimpang daripada objektif asalnya untuk membantu bumiputera, dengan memperkayakan dirinya sendiri.

Beliau berkata Putrajaya akan mengkaji semula syarikat-syarikat di mana Khazanah mempunyai kepentingan di dalamnya dan melakukan penyusunan semula agar syarikat itu kembali kepada peranannya yang asal.

Lihat Komen
ADS