PM arah siasatan rapi kes wanita China dipaksa berbogel
Perdana Menteri mengarahkan polis jangan "menyembunyikan" sebarang fakta dalam siasatan kes seorang wanita dipercayai warga China dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi di hadapan seorang wanita berpakaian polis yang dipaparkan dalam satu rakaman video.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan dalam Negeri berkata, beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Musa Hassan menyiasat kejadian itu dengan segera dan rapi.
Menurut laporan
Bernama
, wajahnya yang serius ketika bercakap kepada wartawan Malaysia yang sedang membuat liputan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Valleta, Malta hari ini menunjukkan betapa kecewanya beliau dengan laporan kejadian itu.
Sidang media itu dipanggil sendiri oleh beliau.
"Jangan ada `cover up' langsung. Jangan ada mana-mana pihak yang hendak menyembunyikan fakta yang diperolehi daripada siasatan itu," katanya.
Perdana Menteri berkata siasatan yang tegas mesti dijalankan kerana tindakan itu telah memalukan polis.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata kerajaan tidak akan melindungi mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
"Saya pandang perkara itu serius dan tak patut timbul. Ia beri tamparan pada imej negara kita," kata Timbalan Perdana Menteri selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-32 Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas rakaman video itu yang ditunjukkan kepada beberapa menteri dan anggota Parlimen oleh Anggota Parlimen kawasan Seputeh, Teresa Kok di bangunan Parlimen semalam yang memaparkan seorang wanita berkulit cerah dipercayai rakyat China berbogel dan melakukan ketuk ketampi.
Najib berkata, polis akan menjalankan siasatan rapi untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, dan jika kes itu didapati benar, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, juga memandang serius kes itu kerana ia boleh menjejaskan imej dan integriti polis serta kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun yakin kes itu tidak akan memberi kesan kepada Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan dianjurkan oleh Malaysia dua minggu lagi, yang akan turut dihadiri oleh China.
"Ini merupakan kali pertama ada bukti dalam video dan siasatan rapi perlu dijalankan," katanya.
Mengenai lawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid ke China tidak lama lagi, Najib berkata ia bertujuan memaklumkan kepada kerajaan China bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelancong dari China.
Menteri itu dijangka menjelaskan bahawa Malaysia tidak ada niat untuk menyusahkan pelancong China melawat negara ini.
Najib berkata pegawai Imigresen yang fasih berbahasa Mandarin akan ditugaskan di pintu masuk negara bagi memudahkan komunikasi manakala Malaysia Airports Berhad pula akan diminta membuat pengumuman penerbangan dalam bahasa Mandarin di Lapangan Terbang Antarabangsa KL.