Jabatan Pendidikan Johor sedia menimbang proses pertukaran pembantu makmal di sebuah sekolah di Ulu Tiram yang dikatakan mengalami tekanan perasaan sehingga cuba terjun ke sungai dari jambatan di Batu Pahat pada Selasa lepas.
Pengarahnya, Shaharudin Sharif berkata berdasarkan laporan awal, pihak sekolah tidak dimaklumkan mengenai situasi sebenar masalah dihadapi keluarga wanita terbabit termasuk dakwaan menghadapi masalah kewangan dan suaminya gagal dikesan.
"Masalah-masalah ini, di peringkat sekolah tidak tahu dan pengetua tidak dimaklumkan hal sebenar yang dihadapi keluarga wanita itu.
"Jadi, jika benar dakwaan beliau menghadapi masalah itu, jabatan bersedia menimbang permintaannya untuk ditukar ke sekolah di Batu Pahat sekiranya usaha tersebut meringankan beban mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Shaharudin berkata pihaknya telah menghantar pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang untuk bertemu dengan mangsa semalam bagi menyiasat perkara itu.
Pada Selasa lepas, tular video di media sosial yang menunjukkan seorang wanita bersama dua anaknya, memberhentikan kenderaannya di Jambatan Peserai, Batu Pahat, kononnya hendak terjun ke dalam sungai namun berjaya digagalkan oleh orang ramai.
Mangsa sebelum ini dikatakan pernah meminta untuk ditukarkan ke Batu Pahat kerana dia dan suami berasal dari situ, namun permohonan pertukaran berkenaan ditolak kerana tiada kekosongan di daerah berkenaan.
- Bernama
