Siasatan polis siap minggu depan,' kata Musa Hassan
Siasatan polis terhadap klip video yang merakamkan seorang wanita diarahkan berbogel dan membuat ketuk ketampi dalam lokap polis dijangka siap awal minggu depan, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan hari ini.
"Kes ini sedang disiasat. Saya telah mengarahkan siasatan segera dibuat. Kami harap Isnin depan akan diketahui hasilnya," katanya selepas merasmikan pameran kaedah siasatan polis di Muzium Polis di ibunegara.
Katanya, siasatan tersebut diawasi oleh ibupejabat Polis Persekutuan Bukit Aman. Beliau juga meberi jaminan pihak polis tidak akan menyembunyikan kebenaran.
"Samaada orang asing atau rakyat tempatan atau pegawai polis sekalipun, jika anda melanggar undang-undang, tindakan akan diambil. Kami tidak akan menyembunyikan apa-apa,"katanya.
Klip video lebih kurang seminit yang didedahkan di bangunan Parlimen oleh wakil DAP (Seputeh), Theresa Kok itu menunjukkan seorang wanita dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi di dalam bilik di sebuah balai polis.
Rakaman tersebut ditunjukkan kepada beberapa orang menteri dan pihak media.
Musa bagaimanapun menekankan bahawa di bawah undang-undang, pegawai polis mempunyai hak melakukan siasatan tubuh terhadap orang tahanan.
"Tetapi bagi orang tahanan wanita hanya pegawai polis wanita dibenarkan menyiasat tubuhnya. Ia mesti dilakukan di satu tempat tertutup. Itu bukannya satu kesalahan," katanya.
Bagaimanapun Musa enggan mengulas apabila ditanya tentang perbuatan memaksa orang tahanan melakukan ketuk ketampi.
"Saya tidak dapat katakan samaada perbuatan itu dibenarkan atau tidak. Kami masih menyiasat. Jika didapati berlaku penyalahgunaan kuasa, tindakan akan diambil," katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan telefon bimbit walaupun milik pegawai polis tidak dibenarkan dibawa ke dalam lokap polis.
Kes polis saman remaja
Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata, siasatan ke atas aduan empat orang wanita China terhadap pegawai polis Petaling Jaya yang didakwa menangkap mereka secara tidak sah, membogel dan mendera mereka, akan siap tidak lama lagi.
" Siasatan sedang berlangsung. Kami akan menyiapkannya tidak lama lagi," ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Musa berkata, mana-mana anggota polis berhak menyaman malu pihak yang dirasakan telah membuat tuduhan salah terhadap mereka.
Beliau berkata, pihak polis tidak akan meminta seorang anggotanya yang menyaman malu seorang remaja yang didapati membuat tuduhan rasuah yang salah terhadapnya walaupun kabinet menasihatkan anggota berkenaan menarik balik tindakan anggota polis itu.
"Semua rakyat Malaysia samaada orang awam atau anggota polis mempunyai hak asasi masing-masing. Oleh itu jika seseorang merasakan dirinya telah dikenakan tuduhan yang salah, dia berhak untuk mengambil tindakan mahkamah," katanya.
Musa berkata, anggota berpangkat koperal itu, Bahrin Awang bertindak atas hak peribadinya.
Pendirian Musa itu bertentangan dengan keputusan kabinet pada Rabu lalu yang meminta Bahrain menarikbalik tindakan mahkamahnya kerana ia bertentangan dengan kepentingan umum dan menjejaskan langkah kerajaan membanteras rasuah.
Laporan akhbar hari ini memetik Bahrin sebagai berkata bahawa dia akan meneruskan saman malunya terhadap remaja berusia 17 tahun itu.
Menurut Bahriun tindakan Foo menuduhnya melakukan rasuah telah membawa penderitaan dan memalukan dirinya serta keluarga.
Foo membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah pada Jun tahun lalu dengan mendakwa beberapa anggota polis meminta rasuah RM300 ketika menahannya di atas kesalahan lalu lintas di Seremban.
Bahrin didakwa di mahkamah pada Mac lalu tetapi dibebaskan bulan lepas atas sebab teknikal.