Paling Popular
Terkini

Datuk Seri Azmin Ali diyakini bersikap terbuka dengan kehadiran Rafizi Ramli untuk bersaing merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Bagaimanapun kata Setiausaha Politik Azmin, Hilman Idham, pertandingan itu mestilah berlangsung secara sihat dan bebas daripada sebarang unsur fitnah.

"Jika itu mampu berlaku, saya yakin siapa juga yang menang nanti pasti akan memberi kebaikan dan manfaat kepada parti dan seluruh anggota PKR," katanya ketika dihubungi Malaysiakini malam ini.

Hilman yang juga anggota dewan undangan negeri Gombak Setia menambah PKR mengamalkan demokrasi dan sentiasa bersikap terbuka untuk meraikan pertandingan bagi mana-mana jawatan dalam parti.

"Saya kira Azmin juga ambil pendirian sama dan saya yakin beliau mengalu-alukan sesiapa juga yang mahu bersaing bagi mana-mana jawatan, termasuk Rafizi yang mahu bertanding jawatan timbalan presiden," katanya.

Bagaimanapun menurut Hilman, Azmin tidak tergesa-gesa untuk mengumumkan pencalonan dirinya kerana masa masih panjang untuk berbuat demikian.

Katanya masih ada ruang untuk menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berbuat demikian, dan pada masa sama banyak isu membabitkan kepentingan negara perlu diberi perhatian olehnya.

"Bagaimanapun saya yakin Azmin akan buat pengumuman sebelum hari penamaan," katanya.

Demi Malaysia baru

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Rafizi - kini naib presiden PKR - mengesahkan dia akan bersaing bagi mengisi jawatan timbalan presiden pada pemilihan yang akan berlangsung Ogos ini.

Jika itu berlaku dan Azmin membuat keputusan mempertahankan kedudukannya sekarang, ia akan menyaksikan pertembuang dua tokoh penting PKR itu secara langsung di peringkat pemilihan parti.

Walaupun dinafikan, umum mengetahui wujud persaingan - terbuka dan tertutup - di antara kumpulan Rafizi dan Azmin dalam PKR sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun setakat ini Azmin masih merahsiakan perancangannya walaupun ada spekulasi mendakwa beliau mungkin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden.

"Saya akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

"Saya tidak berminat dengan apa-apa jawatan kerajaan tetapi saya masih berhutang dengan anggota PKR untuk tidak berundur (daripada parti) begitu saja," kata Rafizi kepada Malaysiakini.

Mengenai kebimbangan wujud perpecahan dalaman PKR, Hilman menegaskan isu itu tidak berbangkit kerana semua anggota dianggap sebagai berada dalam satu pasukan yang sama.

Apa yang lebih penting, katanya, ialah semua anggota parti menjaga norma-norma disiplin dan memastikan pertandingan berlangsung secara sihat.

Semua anggota pula, katanya, mesti bertanggungjawab sebagai pemilih, selain menjadi ejen semak dan imbang demi memastikan pemilihan kali ini berjalan dengan lancar.

"Mereka boleh menilai siapa calon terbaik, yang lebih setia kepada parti, perjuangan parti.

"Jangan sekali-kali mengamalkan politik fitnah, politik keji.

"Kalau ini boleh dipertahankan, saya yakin PKR boleh maju sebagai parti yang lebih kuat dan progresif untuk Malaysia baru," katanya.

Lihat Komen
ADS