Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa agensi kerajaan serta pihak berkuasa di Pulau Pinang supaya mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tumpahan minyak di perairan Pulau Pinang selepas kapal kargo karam di 2.65 batu nautika dari barat Pulau Rimau, dekat sini semalam.
Presiden SAM, S.M Mohamed Idris berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tumpahan minyak itu kerana ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kelestarian ekosistem laut malah turut menjejaskan ekonomi.
"Pencemaran itu sekiranya dibiarkan akan merosakkan kawasan pelancongan, mengancam hidupan laut dan menjejaskan pendapatan nelayan Pulau Pinang dan utara Perak yang bergantung sepenuhnya pada hasil tangkapan ikan.
"Selain itu, bahaya yang akan dihadapi oleh hidupan marin termasuklah kesan toksik disebabkan oleh pendedahan atau sentuhan malah ia boleh memberi kesan seperti kerosakan sistem pembiakan mereka dan menyebabkan populasi hidupan laut akan berkurangan," katanya dalam kenyataan di George Town hari ini.
Beliau berkata kesan dari tumpahan itu juga akan menyebabkan minyak yang membentuk lapisan di permukaan air laut akan menghalang, cahaya dan gas oksigen untuk memasuki laut.
Kapal kargo Xin Yi Yi
Mohamed Idris berkata SAM berharap langkah-langkah kontigensi untuk mengawal tumpahan minyak segera dilaksanakan agar pencemaran tidak merebak dan keadaan bertambah buruk agar ekosistem hidupan marin tidak musnah manakala mata pencarian nelayan tempatan terjamin.
"Kerajaan Negeri juga perlu mengumumkan hasil siasatan mengenai kejadian yang menyebabkan berlakunya tumpahan minyak di perairan Pulau Pinang kepada orang ramai bagi meredakan kebimbangan mereka terutama nelayan tempatan yang mencari rezeki di sekitar kawasan itu," katanya.
Sebuah kapal kargo Xin Yi Yi yang membawa ikan hidup dari Hong Kong yang dalam perjalanan memasuki pelabuhan Pulau Pinang karam setelah melanggar tukun di kedudukan 2.65 batu nautika dari barat Pulau Rimau, dekat Pulau Pinang awal hari ini.
Kapal kargo itu dilapor melanggar bangkai kapal karam dan kapal simen yang dijadikan tukun di kawasan itu pukul 5.30 pagi dan seorang kapten dan empat kru terdiri daripada seorang warga Hong Kong dan empat rakyat China berusia antara 25 dan 40 tahun selamat.
- Bernama
