Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Umno akan menurunkan umur minimum keanggotaan kepada 16 tahun dan menubuhkan Majlis Penasihat yang akan dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu petang tadi.

"Untuk memenuhi hasrat akar umbi dan bagi menentukan bahawa perubahan harus dilakukan pada struktur, perlembagaan serta peraturan Umno, kita memutuskan untuk menurunkan had umur keanggotaan daripada 18 kepada 16 tahun.

"Saya juga ingin mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi hari ini telah bersetuju menubuhkan jemaah penasihat yang dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh," katanya kepada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Zahid menambah, anggota dan bidang kuasa majlis penasihat itu akan diumumkan oleh Tengku Razaleigh.

Idea untuk mewujudkan majlis penasihat pertama kali dicetuskan oleh bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika berkempen untuk merebut jawatan presiden Umno.

Selain Khairy, Tengku Razaleih juga tewas kepada Zahid dalam merebut jawatan presiden dalam pemilihan parti itu sebelum ini.

Umno juga sudah menubuhkan 10 sekretariat yang akan menumpukan untuk menyorot pendirian parti itu terhadap isu-isu semasa dan perubahan dasar yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan.

"Memandangkan kita kini adalah teras gabungan pembangkang, Umno tidak lagi akan tumpu pada politik pembangunan atau perkhidmatan," tambah Zahid.

Turut ditubuhkan adalah sembilan majlis yang berperanan membantu pembaharuan Umno dan lapan jawatankuasa yang akan menggantikan biro dalam parti itu.

Zahid juga mengumumkan Perhimpunan Agung Umno akan diawalkan dari Disember kepada 29 September untuk sayap parti dan 30 September untuk keseluruhan parti.

Anggota parlimen Bagan Datuk itu berharap akan bank Umno akan tidak lagi dibekukan ketika itu.

"Kita sudah melantik firma guaman untuk memfailkan tuntutan (daripada SPRM)," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS