Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 pemimpin cabang PKR S'gor dakwa wujud kronisme, nepotisme
Diterbitkan:  Jul 27, 2018 10:33 PM
Dikemaskini: Jul 28, 2018 4:00 AM

Selepas peletakan jawatan pemimpin Pemuda PKR awal hari ini, dua pemimpin PKR peringkat cabang bagi kawasan Sepang tampil mengulangi dakwaan berlaku amalan kronisme dan nepotisme dalam parti itu

Timbalan Ketua Cabang PKR Sepang Suziana Musa dan Ketua Wanita PKR Cabang Sepang Nermala Dewi Muthusamy dalam kenyataan media hari ini berkata amalan berkenaan terjadi dalam pelantikan ahli majlis di Selangor.

"Merujuk kepada pelantikan ahli majlis Selangor khususnya di Sepang, saya sebagai timbalan ketua cabang PKR Sepang bersama sayap Wanita amat kecewa dengan pelantikan tersebut.

"Pelantikan tersebut telah menyisihkan kami sebagai AJK Cabang yang tertinggi dan mengekalkan calon-calon yang bukan dari kalangan AJK Cabang yang menang dalam pemilihan parti 2014," katanya.

Kenyataan itu turut mendakwa, terdapat calon ahli majlis Selangor mempunyai rekod jenayah dan menipu tahap kelulusan pendidikan.

Dalam kenyataan itu, Suziana turut mendakwa amalan kronisme dan nepotisme itu melibatkan seorang pemimpin PKR peringkat cabang yang juga pegawai politik pemimpin kerajaan negeri.

Kenyataan itu dibuat pada hari sama peletakan jawatan Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman.

Menjelaskan peletakan jawatannya itu, Syed Badli mendakwa terdapat segelintir pemimpin PKR Selangor yang menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.

"Secara jelas jawatan-jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi menerusi merit," kata Syed Badli.

Sementara itu, mengulas kenyataan Syed Badli, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dipetik Bernama menafikan dakwaan berkenaan.

Jelas Amirudin, pembahagian jawatan lantikan politik di negeri itu dibuat melalui sistem yang "adil dan demokratik" oleh jawatankuasa yang mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak.

“Saya ingin menyatakan bahawa pelantikan itu dibuat melalui sistem yang bersih.

“Oleh itu, calon yang dipilih adalah berdasarkan mereka yang mempunyai kebolehan dan pengalaman serta dilihat boleh menjadi penyelesai masalah,” katanya dipetik sebagai berkata.

Amirudin menjadi menteri besar sebagai menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan pengerusi PKR Selangor.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan respons daripada pimpinan PKR Selangor berhubung perkara ini.

Lihat Komen
ADS