Wawancara Malaysiakini

Nurul Izzah mahu status rahsia dokumen TVET digugurkan

Zikri Kamarulzaman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA | Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah digunakan untuk menyembunyikan fakta yang boleh menjejaskan reputasi pentadbiran BN, seperti yang dapat dilihat pada laporan audit 1MDB sebelum ini.

Satu lagi dokumen yang diletakkan bawah akta itu adalah berhubung program pendidikan teknik, vokasional dan latihan (TVET) - usaha kerajaan dulu yang bertujuan melahirkan pekerja berkemahiran di kalangan mereka yang tidak cenderung kepada akademik.

Akhir bulan lalu, anggota parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET.

Beliau kini mempunyai akses terhadap dokumen rahsia - yang turut ditunjukkan kepada Malaysiakini - berhubung pencapaian pusat TVET berdasarkan wawancara dengan orang awam dan institusi swasta.

"Apa yang mengejutkan dan kontroversi adalah mereka membuat senarai kedudukan institusi TVET berdasarkan produktiviti mereka.

"Tiada siapa yang mahu dikenali sebagai paling tidak produktif, lemah kerana tidak menghasilkan graduan yang baik, tetapi kita ada data itu.

"Baik untuk rakyat Malaysia tahu perkara ini. Apakah anda tidak mahu tahu institusi Mara mana yang berjalan dengan baik, yang menghasilkan pekerja industri yang cemerlang? Hak kita untuk tahu dan kita tak boleh sembunyikannya," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu.

Dokumen itu masih berstatus rahsia tetapi Nurul Izzah berkata akan berusaha agar ia dibuka.

Beliau menegaskan ia bukan untuk mengecam kumpulan tertentu yang tidak menunjukkan pencapaian yang baik, tetapi sebagai langkah ke depan.

"Kita perlu tahu kedudukan sekarang baru kita dapat melangkah ke depan untuk mungkin menyusun semula matlamat mereka atau mengadakan kerjasama yang lebih baik dengan industri, atau mungkin menswastakan mereka.

"Ada banyak pilihan yang saya akan kemukakan berdasarkan kajian kemapanan," katanya.

Terdapat sekurang-kurangnya 1,300 institusi TVET di seluruh negara. Program itu bawah skop pelbagai kementerian antaranya Sumber Manusia, Pendidikan, Belia dan Sukan, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kerja Raya serta Pertanian dan Industri Asas Tani.

Berikut adalah wawancara lanjut Malaysiakini dengan Nurul Izzah berhubung isu ini.

Malaysiakini: Salah satu isu terbesar TVET adalah persepsi ia untuk mereka yang tidak bagus dalam pelajaran. Bagaimana anda mahu baiki persepsi itu?

Nurul Izzah: Pertamanya untuk mengubah persepsi ia perlu bermula dengan diri anda sendiri, bermula dengan apa yang pemimpin boleh lakukan. Jadi pada tiga minggu pertama ketika kita mengumpul maklum balas, saya cuba yang terbaik untuk melawat dan berhubung dengan pusat TVET yang cemerlang, dan ada banyak pusat yang sedemikian.

Ketika saya di Mersing, jelas mereka memang cemerlang. Mereka mengeluarkan pakar keselamatan siber. Apa yang bagus adalah permintaan terhadap mereka memang tinggi kerana memenuhi standard industri. Apabila ia berlaku, akan ada kewujudan bersama yang baik antara graduan yang dikeluarkan pusat itu dengan keperluan industri.

Jadi bagi saya, apa yang penting adalah untuk menonjolkan wira tak didendang ini. Kisah kejayaan anak tempatan perlu diangkat dan itulah perancangan saya.

Pada masa sama, jika anda ingin ubah persepsi, mahu gaji yang lebih baik, anda perlu buat beberapa langkah dan keputusan sukar. Ini bermakna, untuk sesetengah pusat yang tidak berjalan dengan baik, peranan mereka perlu dilihat semula, perubahan sistemik dan struktural perlu dilakukan.

Jika anda lihat laporan sebelum ini oleh PricewaterhouseCoopers, Boston Consulting, dan juga PEMANDU, mereka berterus-terang terhadap beberapa keputusan yang telah menghalang kemajuan TVET dan ia membawa kepada masalah dan keadaannya pada masa ini.

Saya mahu sintesiskan semua laporan ini termasuk dengan yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia, serta daripada perbincangan kita sendiri, dalam satu laman web yang mengumpul semua dapatan ini.

Saya gembira apabila kabinet (berpandangan) laporan saya akan dibawa ke tahap itu, tetapi untuk langkah seterusnya kita juga perlu ingatkan semua kementerian tentang apa yang perlu dilakukan.

Malaysiakini: Adakah anda merancang untuk mengubah pemikiran ibu bapa - gred yang bagus adalah segalanya?

Nurul Izzah: Gred yang bagus penting. Sebagai ibu saya tak mahu jadi hipokrit dan berkata saya tak kisah jika anak saya tidak cemerlang dalam pelajaran.

Tetapi setiap anak adalah istimewa dan anda perlu berikan peluang kedua. Setiap mereka ada kelebihan tersendiri. Mereka mungkin tidak dapat menyerap sebahagian pelajaran secara automatik, tetapi tidak bermakna walau dengan usaha mereka tetap tidak akan berjaya.

Tetapi yang penting bagaimana sebuah kementerian dapat menaikkan TVET jika institusi anda sendiri tidak mengeluarkan sijil yang diterima industri dan pihak akreditasi lain? Jadi perkara ini perlu dilihat.

Saya seorang graduan tetapi tidak akan dapat faham. Misalnya ketika saya menggunakan penerbangan MAS, dalam pesawat baru Airbus, tandas tiba-tiba tidak berfungsi. Dan pramugari sibuk mencari juruteknik untuk membaikinya.

Kenapa? Kerana jurutera seperti saya tidak akan dapat membaiki apa yang perlu dibaiki. Jadi bagi saya, ia satu peringatan kecil bahawa anda mengeluarkan pekerja yang berguna, efektif untuk industri dan negara.

Tetapi jika anda biarkan masalah seperti kemahiran yang tidak sesuai atau gaji yang rendah berterusan, tidak ramai yang akan berminat. Dalam fikiran ibu bapa, "Saya banyak mengeluarkan belanja untuk ijazah TVET ini tetapi anak saya tiada pekerjaan yang baik, sijil pun tidak diiktiraf".

Ini adalah masalah yang perlu dibaiki dulu sebelum kita dapat menjadikan TVET lebih baik atau di tahap sama dengan pemegang ijazah.

Malaysiakini: Apakah yang anda mungkin akan bentangkan dalam laporan kepada kabinet?

Nurul Izzah: Saya perlu siapkannya dalam masa setahun. Untuk tiga bulan pertama, kita akhirnya berjaya mendapatkan dokumen OSA. Ia benar-benar membantu kami untuk memberikan respons yang lebih mendalam. Saya sudah gariskan banyak program dan acara.

Sekian lama saya tertumpu kepada pemegang ijazah dang graduan, kemudian saya lihat dalam sistem tidak formal, ada setengah juta anak muda yang tidak berada bawah sistem pendidikan formal. Jadi bagaimana?

Anda dapat lihat ramai di kalangan mereka yang benar-benar bergantung kepada TVET. Ia mengejutkan dan menyedarkan saya bahawa inilah jalannya. Malah di United Kingdom dan Jerman, kerjaya ini adalah sesuatu yang dibanggakan. Anda memberi kepakaran kepada juruteknik.

Kita perlu mula berusaha agar sistem, ijazah dan imbuhannya menepati jangkaan.