Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) - pengajur Himpunan Kebangkitan Ummah hari ini - Aminuddin Yahaya mendesak kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) agar lebih terbuka dalam mendengar tuntutan NGO Islam di negara ini.

"Jika lebih teruk layanan terhadap kami, ini bukan (Malaysia) baru, tetapi haru-biru. Kita harap kerajaan ini betul-betul baru - lebih baik dan konstruktif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Himpunan Kebangkitan Ummah yang disertai lebih 1,000 hadirin di padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mendakwa telah menghantar enam tuntutan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) tetapi tidak dilayan.

"Kita kecewa kerana tahu Datuk S Ambiga ada dalam IRC, mungkin itu (sebabnya) mereka tidak melayan tuntutan kita," katanya yang juga timbalan presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Antara isu yang dibangkitkan dalam himpunan itu adalah isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), pemerkasaan bahasa kebangsaan dan tanah rizab Melayu.

Aminuddin berkata himpunan itu adalah luahan kegusaran kalangan umat Islam dan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan.

"UMMAH menuntut kerajaan segera membaiki kepincangan yang sedang dan bakal berlaku.

"Kami tidak menolak akan ada siri himpunan yang lebih besar di negeri-negeri jika tiada tindakan daripada mereka," katanya lagi.

UMMAH menyatakan enam resolusi kepada kerajaan, antaranya tindakan kerajaan haruslah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan tanpa menjejaskan perpaduan dan keharmonian antara agama.

Selain itu, gabungan NGO itu menuntut hak istimewa Melayu dan kedudukan Islam tidak digugat dan penolakan terhadap pengiktirafan UEC.

Selain pemimpin NGO, himpunan yang bertemakan 'Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam' turut dihadiri beberapa pemimpin Umno dan PAS, antaranya Datuk Takiyuddin Hassan, Nasrudin Hassan, Datuk Asyrat Wajdi Dusuki dan Datuk Lokman Noor Adam.

Lihat Komen
ADS