Raja Muda Perlis menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membuat kajian khas bagi mewajibkan atau tidak, semua maahad tahfiz di negeri itu ditutup jika tidak menawarkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs mahu Jawatankuasa Pelajaran MAIPs membuat kajian menyeluruh dalam masa terdekat bagi menilai perkara itu.
“MAIPs menerima banyak keluhan dan permintaan daripada ibu bapa agar anak-anak mereka yang belajar di maahad tahfiz di dalam dan luar Perlis diberi peluang menduduki SPM.
“Bagi tujuan itu, mereka mahu semua pengelola maahad tahfiz di Perlis menawarkan SPM,” titahnya selepas menyampaikan zakat MAIPs kepada Sekolah Agama Attaqwa yang diterima pengetuanya Suphachai Fooanant di Chiangmai petang semalam.
Sekolah tersebut mempunyai 82 pelajar lelaki dan 72 perempuan mengkhusus dalam pengajian Islam dan bahasa Arab. Mereka dibimbing 22 tenaga pengajar.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah kegagalan melaksanakan peraturan itu akan menyebabkan pelajar maahad tahfiz menjadi mangsa sistem pendidikan yang tidak selaras.
“Saya mahu MAIPs menyasarkan tahun 2020 bagi melaksanakan peraturan itu sepenuhnya jika laporan kajian tersebut menunjukkan maklum balas positif bagi memartabatkan maahad tahfiz selain meningkatkan kebolehpasaran pelajarnya,” titah baginda.
Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin mahu maahad tahfiz di Perlis diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Baginda berada di Chiangmai atas undangan Persatuan Woodball Malaysia (MWA) untuk menerima bendera sebagai penganjur Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020 di Perlis.
Ia diadakan sempena majlis penutupan dan penyampaian hadiah WCWC ke-8 yang dihoskan Persatuan Woodball Thailand.
- Bernama
