Paling Popular
Terkini

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dikecam semalam ekoran beliau didakwa membuat kenyataan bahawa orang Melayu adalah pendatang berbanding orang masyarakat India yang menjadi pribumi di negara ini.

Anggota Parlimen Ipoh Barat itu kemudian membuat penafian, serta mendakwa laporan Utusan Malaysia bersifat fitnah dan pembohongan.

Katanya ucapan yang dibuatnya itu - dalam bahasa Tamil - sengaja diambil di luar konteks bagi mencetuskan ketegangan antara kaum.

Malaysiakini meneliti klip ucapan Kulasegaran itu yang dibuat pada sebuah majllis di Nilai, Negeri Sembilan, bagi mendapatkan kepastian apa sebenarnya berlaku.

"Merekalah pendatang, bukan kita yang pendatang. Mareka dan kita adala sama," katanya dalam ucapan menjelaskan kehadiran orang India di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun untuk rekod Kulasegaran tidak menjelaskan lebih lanjut siapa yang dirujuknya sebagai "mereka" itu.

Menteri terbabit kemudian memberitahu Malaysiakini, "mereka" yang disebutnya itu tidak merujuk kepada mana-mana bangsa secara khusus.

"Jika anda dengar keseluruhan ucapan saya ialah pihak yang menghasut. Mereka yang menggelar orang India sebagai pendatang dan memainkan sentimen kebencian bangsa - mereka itulah pendatang," katanya.

Lembah Bujang jadi bukti

Video berkenaan - yang dimuat naik laman sesawang MyNewsHub - disahkan oleh setiausaha akhbar Kulasegaran sebagai tulen dan tidak dimanipulasi.

Bagaimanapun katanya petikan itu adalah sebahagian daripada ucapan sepanjang 18 minit disampaikan Kulasegaran itu diada-adakan oleh Utusan dan MyNewsHub.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan rakaman penuh ucapan tersebut.

Analisis yang dibuat mendapati:

Apa dilaporkan Utusan:

Perenggan 1: Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.”

Perenggan 4 dan 5: "Kebanyakan orang telah lupa, orang Hindu mula jejak negara ini 2,500 tahun dulu. Apa buktinya? Sekiranya anda pergi ke Lembah Bujang, ke­semua bukti terdapat di sana. Terdapat banyak kuil lama yang ditemui di sana.

“Apabila kitalah yang berada di negara ini terlebih dahulu, maka, merekalah (Melayu) yang sebenarnya pendatang! Kita dan Melayu adalah setaraf. Ini tanah air kita!”

Nota: MyNewsHub memaparkan transkrip yang sama seperti dipetik dan disiarkan Utusan.

Penjelasan Kulasegaran: "Dalam majlis yang berlangsung menggunakan bahasa Tamil itu saya tidak menyebut sekali pun tentang Melayu. Justeru tuduhan saya menggelar Melayu sebagai pendatang adalah fitnah dan pembohongan sama sekali.

"Apa yang saya jelaskan pada majlis itu ialah orang India berada di Malaya sejak 2,500 tahun lalu. Hinduisme dibawa oleh orang India ke Malaya.

"Penemuan arkeologi di Lembah Bujang, terutamanya di Sungai Batu, Kedah, membuktikan hal ini.

"Oleh sebab itu saya percaya tidak adil untuk menganggap orang India sebagai pendatang berdasarkan kepada fakta sejarah."

Terjemahan Malaysiakini daripada ucapan Kulasegaran dalam video berkaitan: "Ramai orang - apabila ditanya tentang sejarah kita (mereka kata) sejarah (kita) bermula 120 hingga 130 tahun lalu.

"Tak betul. Kita datang ke sini (ialah) 2,500 tahun lalu. Buktinya ada di Lembah Bujang. Ada kuil disana.... tertanam.

"Mereka yang pendatang, bukan kita pendatang. Mereka dan kita adalah sama.

"Jika anda tanya ramai pelajar kita, mereka akan kata (sejarah kita bermula) 1000 tahun... sebab cikgu saya ajar saya begitu.

"Saya kata ketuk kepala cikgu tu. Kamu boleh petik saya tentang ini. Kita ada hak untuk kekal di sini. Ini tanah air kita.

"Kita semua ada hak untuk berada di sini sama seperti mereka. Jangan mengalah. Kita mesti beritahu orang kita bahawa..." (petikan video tamat).

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS