Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat pasca-kemerdekaan, terutamanya selepas pengenalan perindustrian berat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Negara ini, yang pada asalnya bertunjangkan pertanian dan perikanan, pada hari ini diterajui bidang perkhidmatan yang menyumbang lebih kurang 55 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Dalam tempoh beberapa dekad yang lalu, sumbangan sektor pertanian Malaysia semakin berkurangan akibat perkembangan industri tempatan dan juga bidang perkhidmatan.

Pada tahun 1970, hampir 30 peratus daripada KDNK telah disumbangkan oleh bidang pertanian. Namun, peratusan ini telah jatuh mendadak kepada 8.2 peratus pada tahun 2017.

Dominasi penanaman komoditi dalam bidang pertanian tempatan disebabkan nilai komersialnya yang lebih tinggi, telah mengakibatkan hasil tanian sumber makanan seperti padi, sayur-sayuran dan buah-buahan terus lemah dari aspek saiz keluaran tanian dan sumbangan kepada ekonomi.

Saya memandang serius terhadap isu ini dan saya ingin menyeru kerajaan Pakatan Harapan untuk memberi nafas baru untuk sektor pertanian tempatan, khususnya hasil tanian sumber makanan.

Pertanian pintar

Untuk mencapai hasrat ini, sektor pertanian Malaysia memerlukan perubahan struktur pada skala besar-besaran yang dipacu menerusi Revolusi Pertanian Pintar atau smart farming untuk menyuburkan kembali bidang ini.

Revolusi Pertanian Pintar merujuk kepada penggunaan dan pengintegrasian teknologi terkini dengan lebih meluas dalam bidang pertanian, dengan tujuan meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil tuaian tanaman domestik.

Misalnya, drone boleh digunakan untuk menyembur racun serangga, menganalisis tanah penanaman dan memantau hasil tanaman dengan cepat dan tanpa menggunakan tenaga kerja yang ramai.

Selain itu, alat pengesan atau sensor yang berasaskan Internet of Things (IoT) juga boleh digunakan untuk menghantar data atau maklumat berkaitan tanaman secara serta-merta (real-time) untuk tindakan lanjutan oleh para petani.

Sektor pertanian Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada teknologi yang sudah lapuk dan harus bergerak ke arah penggunaan teknologi terkini aras tinggi. Ini termasuk teknologi “Big Data” yang boleh diaplikasikan untuk merombak rantaian bekalan atau supply chain pertanian tempatan.

Negara-negara lain telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk mengintegrasikan teknologi pertanian pintar dalam sektor pertanian mereka.

Misalnya, pada tahun 2017, Australia telah menyediakan geran berjumlah AU$60 juta untuk mengukuhkan pertanian pintar. Manakala, China juga telah memberi fokus terhadap pengaplikasian IoT dalam bidang pertanian menerusi Pelan Lima Tahun yang ke-13.

Rancangan ini telah dimulakan di lapan wilayah China melalui pengenalan 426 aplikasi, teknologi dan produk.

Kos permulaan tinggi

Antara punca utama di sebalik kurangnya penggunaan teknologi dalam sektor pertanian Malaysia adalah kos permulaan yang tinggi, kekurangan pengetahuan dalam kalangan pengusaha tani dan keengganan para petani, khususnya yang telah berumur, untuk mengintegrasikan teknologi terkini di kawasan tanaman mereka.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diharapkan terus mencari penyelesaian yang komprehensif dan terperinci untuk membantu para petani yang menghadapi masalah-masalah tersebut.

Berkaitan masalah kos permulaan yang tinggi, saya menggesa pihak kementerian untuk mewujudkan konsep kluster di kawasan-kawasan pertanian tertentu, di mana tanah penanaman beberapa petani boleh dikumpulkan menjadi sebuah kluster dan geran diberi oleh kerajaan untuk petani-petani berkenaan mengaplikasikan teknologi pertanian pintar bersama-sama.

Berhubung masalah kekurangan tenaga kerja muda dalam bidang pertanian yang seterusnya menjadi penghalang kepada pengaplikasian teknologi, saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan geran untuk perniagaan-perniagaan baru atau start-up yang berteraskan pertanian.

Start-up ini boleh terlibat dengan mana-mana elemen pertanian, baik dari segi penanaman mahupun sistem agihan hasil tuaian, dan harus menggunakan teknologi untuk merombak dan memudakan sektor ini.

Salah satu konsep pertanian moden yang harus dikembangkan di Malaysia adalah vertical farming, iaitu pertanian di dalam ruang tertutup dan terkawal. Sokongan kerajaan yang kuat dari aspek kewangan mahupun bimbingan atau guidance akan membantu para petani untuk terlibat dalam Revolusi Pertanian Pintar dengan lebih meluas.

Sektor utama negara

Selain itu, untuk menggalakkan para petani menambah baik teknologi pertanian mereka, kerajaan juga boleh memperkenalkan sistem baru di mana subsidi kerajaan untuk petani diberikan berdasarkan kadar pengaplikasian teknologi pertanian pintar di tanah mereka (subsidy linked to technology adoption).

Walaubagaimanapun, amat penting untuk para petani diberikan bantuan dan nasihat yang komprehensif terlebih dahulu mengenai teknik penggunaan pertanian pintar sebelum sistem yang dicadangkan ini diperkenalkan secara meluas.

Sudah tiba masanya untuk Malaysia melipat-gandakan usahanya untuk memperkasakan bidang pertanian tempatan menerusi revolusi teknologi, khususnya melalui pertanian pintar. Bidang pertanian, terutamanya hasil tuaian sumber makanan, harus terus berkembang dengan lebih baik selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi negara.

Bagi menyediakan tenaga mahir dan separa mahir bagi tujuan melestarikan revolusi teknologi, intipati pengajian TVET perlu ditekankan kepada industri pertanian.

Jika penekanan ini berjaya dilaksanakan, saya percaya peluang pekerjaan di kalangan orang muda dan generasi akan datang akan lebih terbuka luas dan kompetitif. Kebergantungan kepada pekerja asing secara tidak langsung akan berkurangan.

Saya yakin bidang pertanian akan terus menjadi elemen penting bagi Malaysia dan konsep pertanian pintar akan nescaya mengubah lanskap pertanian negara dalam jangka masa panjang.

Dasar Agro-Makanan Negara 2011-2020 akan berakhir dalam masa dua tahun akan datang dan diharapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menerapkan konsep pertanian pintar secara terperinci dalam dasar bidang pertanian baharu supaya pertanian terus berkembang sebagai sektor ekonomi utama negara.


Faiz Fadzil merupakan ketua Pemuda AMANAH.

Tulisan ini merupakan padangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS