Laporan Siasatan Keselamatan ke atas kehilangan pesawat penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang dikeluarkan hari ini bukanlah laporan akhir, kata Ketua Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia, Datuk Kok Soo Chon.
Kok berkata Laporan Siasatan Keselamatan setebal 449 muka itu hanyalah untuk siasatan keselamatan dan ia terasing daripada siasatan pencarian dan kehakiman.
“Ini bukanlah laporan terakhir, kami tidak boleh mengandaikan dan berkata inilah laporan terakhir kerana bangkai pesawat itu belum dijumpai apatah lagi mangsa juga belum ditemukan, bagaimana kami boleh memanggilnya satu laporan akhir ?
Jawapannya hanya boleh dirumuskan jika bangkainya dijumpai,” kata beliau dalam satu taklimat media mengenai Laporan Siasatan Keselamatan ke atas kehilangan MH370 di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata laporan itu boleh membantu pencegahan kemalangan dan insiden pada masa hadapan dan bukan tujuannya untuk menyalahkan sesiapa.
Hilang dari radar
Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada pukul 12.40 tengah malam, 8 Mac 2014 menuju ke Beijing, sebelum hilang dari skrin radar, sejam kemudian.
Kok menafikan pasukan itu melengah-lengahkan pengeluaran laporan berkenaan dan berkata penyediaan laporan itu ditangguhkan kerana pencarian yang berterusan.
Pencarian MH370 di bawah permukaan laut bermula pada Mei 2014 dan ia dihentikan dalam Januari tahun lepas, yang memakan masa hampir tiga tahun sementara menunggu bukti baharu yang diyakini selepas pencarian di bawah permukaan air seluas 120,000 km persegi di selatan Lautan Hindi, tidak berhasil.
Pada Januari, syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited dipilih untuk memulakan usaha baharu pencarian pesawat yang hilang itu dan berdasarkan “no cure, no fee” bermaksud bayaran akan hanya dijelaskan apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan pihak ketiga.
Pada 29 Mei, Ocean Infinity mengesahkan pencariannya terhadap bangkai pesawat MH370 sudah berakhir.
- Bernama
