Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja pula sekat Orang Asli: Kementerian tunggu laporan

Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berhubung sekatan yang dibuat pekerja syarikat pengusaha ladang durian Musang King di Kampung Kaleng, Pos Tohoi, Gua Musang.

Timbalan menterinya R Sivarasa berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Jakoa mengenai perkara terbabit.

“Kita akan minta laporan serta merta dan bincang dengan pihak terlibat seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri Kelantan agar satu penyelesaian secepat yang mungkin dan adil kepada semua pihak,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Sivarasa berkata demikian mengulas laporan The Star yang menyebut pekerja terbabit mengadakan sekatan berdekatan dengan Pos Tohoi yang menyekat pergerakan Orang Asli, hari ini.

Pada masa yang sama, Orang Asli di beberapa kampung di Gua Musang turut membina sekatan mereka sejak enam bulan lalu bagi menghalang dakwaan pembalakan dan perlombongan di tanah adat mereka.

Mengulas lanjut, Sivarasa berkata pihaknya tidak dapat menerima tindakan pekerja syarikat yang membuat halangan berkenaan.

“Kita mesti mengetahui apa punca masalah ini, apa punca perselisihan dan selesaikannya secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jaringan Orang Asli Kelantan Mustafa Along yang turut hadir sidang media itu berkata mereka telah membuat satu laporan polis di ibu pejabat polis daerah Gua Musang mengenai halangan dibuat pekerja syarikat itu.

“Semalam juga polis mengarahkan syarikat mengosongkan sekatan yang di diami mereka sejak dua hari lalu.

“Syarikat telah mengadakan sekatan di hadapan sampai kami tak boleh keluar masuk, guru, pelajar juga tidak boleh keluar masuk,” katanya.

Lihat Komen
ADS