Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli panel forum 'buku teks sejarah' mahu saman Utusan

Sebuah forum untuk membahaskan naratif dalam buku teks sejarah pada Ahad lalu mencetuskan kontroversi apabila akhbar Utusan Malaysia mendakwa ahli panel dalam forum berkenaan mengangkat perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

Forum bertajuk "Patutkah Kita Menulis Semula Buku Teks Sejarah Negara Kita?" yang diadakan di Kuala Lumpur itu menampil aktivis Fadiah Nadwa Fikri dan Fahmi Reza.

Ia diadakan bagi membincangkan naratif sejarah dari sudut pandangan alternatif ketika zaman darurat di Tanah Melayu.

Laporan mengenai forum itu turut dimuat naik di muka hadapan Utusan Malaysia dengan tajuk "Komunis Bukan Pejuang" pada Isnin.

Fadiah dan Fahmi bagaimanapun menafikan laporan akhbar berkenaan.

Fadiah yang juga seorang peguam menerusi catatan Facebook semalam berkata beliau akan memfailkan saman terhadap akhbar itu.

"Saya membeli Utusan yang perkauman buat pertama kali hari ini kerana saya perlu mendokumentasikan pembohongan mereka yang jahat. Saya akan saman mereka kerana fitnah," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkongsi klip video forum itu di laman Facebooknya dan meminta netizen sendiri membuat penilaian sama ada beliau merupakan "tali barut komunis".

"Aku dijemput oleh penganjur untuk mengulas mengenai topik ini dari sudut pandang seorang peminat sejarah yang pernah menerbitkan filem dokumentari sejarah bertajuk “10 Tahun Sebelum Merdeka” dan banyak membuat kajian mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan dari perspektif sejarah alternatif," katanya.

Masukkan perspektif alternatif

Fahmi berkata beliau tidak pernah menafikan sumbangan Umno terhadap perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu.

Bagaimanapun, katanya, Umno bukan satu-satunya parti yang terlibat dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Beliau menegaskan gerakan nasionalis kiri yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Demokratik Malaya (MDU), dan gabungan Putera-AMCJA juga turut terlibat dalam sejarah kemerdekaan.

Beliau turut menunjukkan buku teks sejarah tingkatan 3 yang memaparkan sejarah perjuangan Umno sebanyak 10 halaman tanpa memberikan penekanan terhadap gerakan nasionalis kiri.

"Gerakan nasionalis kiri macam PKMM, MDU, PUTERA-AMCJA pun sama berjuang tapi kenapa Umno diberi sampai 10 mukasurat  tapi gerakan-gerakan lain tak diberi penekanan langsung?

"Kenapa perlu berat sebelah? Itu yang aku persoalkan," tegas Fahmi.

Fahmi berkata buku teks sejarah tidak seharusnya digunakan oleh parti pemerintah untuk agenda politik mereka, tetapi harus membentangkan perspektif rasmi dan alternatif mengenai sejarah Malaysia.

Iktiraf PKM

Bagaimanapun, laporan Utusan pada Isnin hanya memberi tumpuan kepada ahli panel berkenaan dalam "mengiktiraf" PKM.

Ia melaporkan bahawa ahli panel berkenaan meminta kerajaan memasukkan fakta perjuangan berhaluan kiri dalam buku teks sejarah termasuk PKM, tanpa menyebut organisasi sayap kiri lain yang disebut ahli panel terbabit semasa forum.

Utusan juga mendakwa Fadiah menggesa sejarah PKM dimasukkan dalam buku teks sejarah, selain turut mewawancara mereka yang menentang perjuangan PKM.

Antara yang ditemubual Utusan ialah Prof Ramlah Adam - pengarang buku teks sejarah tingkatan Tiga yang disebut Fahmi ketika forum berlangsung.

'Tidak jawab soalan'

Utusan juga melaporkan penganjur dan ahli panel enggan menjawab soalan seorang peserta berhubung mengapa PKM membunuh orang awam, ketika sesi soal jawab.

Malaysiakini yang turut hadir di forum itu maklum dengan satu soalan yang ditanya seorang peserta: "Seperti kita tahu, ramai yang ditangkap komunis dan dibunuh, tanpa mengira kaum, jadi bagaimana ahli panel menjustifikasikan kematian orang tidak bersalah ini?"

Ketika itu, moderator Imran Rasid cuba menenangkan keadaan yagn semakin tegang dan mengingatkan hadirin bahawa fokus utama perbincangan adalah perihal buku teks.

Fahmi menjawab, berdasarkan topik forum, pembentangannya hanya fokus kepada sama ada perspektif alternatif patut dimasukkan ke dalam buku teks, selain naratif rasmi.

Justeru, katanya, beliau tidak akan memberi ulasan peribadi tentang setiap peristiwa sejarah.

Forum itu dianjurkan sempena acara "A people's history of the Malayan Emergency", yang berlangsung dari 27 hingga 29 Julai di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur - Selangor (KLSCAH).

Ia dianjurkan Gerakbudaya, Amateur, Pusat Sejarah Rakyat, Civil Rights Committee of KLSCAH, Persatuan Persahabatan Berpasangan KL Selangor, Persatuan Persahabatan Abad ke-21, Imagined Malaysia, Malaysia Muda, Projek Dialog dan Students in Resistance.

Lihat Komen
ADS