mk-logo
Berita
'Pelantikan saya dan Dr M dalam Khazanah tak langgar manifesto'
Diterbitkan:  Jul 31, 2018 10:41 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan dirinya dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd tidak melanggar manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, perkara itu adalah prerogatif perdana menteri dan berkaitan soal konvensyen.

"Secara konvensyen, perdana menteri akan menjadi pengerusi Khazanah.

"Matlamat Khazanah adalah untuk menguasai aset strategik negara. Peranan ketua eksekutif negara iaitu perdana menteri penting (sebagai) pengerusi Khazanah," katanya kepada pemberita di lobi parlimen malam ini.

Semalam, pelbagai pihak mengecam langkah meletakkan Mahathir dan Azmin dalam lembaga pengarah Khazanah dan berkata ia melanggar manifesto HARAPAN.

Janji 22 manifesto itu menyebut, "Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC nasional dan negeri adalah adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka."

Ia tidak menjanjikan perdana menteri tidak boleh dilantik memegang jawatan dalam GLC, sebaliknya berjanji perdana menteri tidak akan memegang portfolio lain dalam kabinet.

Agenda ekonomi baru

Berhubung pelantikannya sendiri sebagai pengarah Khazanah, Azmin berkata ia selaras dengan usaha merangka agenda dan dasar ekonomi yang baru.

Beliau juga menegaskan pengurusan Khazanah akan tetap merangkumi golongan profesional.

"Perdana menteri sedang meneliti beberapa nama yang akan diumumkan dalam masa terdekat, dan satu dua nama lagi untuk kewangan dan pentadbiran Khazanah. Ia tidak libatkan perdana menteri," katanya lagi.

Pengarah Khazanah lain yang dilantik setakat ini adalah Tan Sri Hassan Marican yang juga anggota Majlis Penasihat Kerajaan, bekas timbalan gabenor Bank Negara Sukhdev Singh dan pengarah Maybank Asset Management Group Berhad Goh Ching Yin.

Pelantikan mereka selepas ahli lembaga pengarah sebelumnya menawarkan untuk letak jawatan minggu lalu, bagi memberi laluan kepada peralihan bawah kerajaan baru.

Berhubung Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pula, Azmin berkata beliau mungkin akan bertemu dengan kerajaan Singapura awal Ogos ini, kerana sibuk dengan urusan parlimen pada masa ini.

Lihat Komen
ADS