Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Serangan tikus musnah padi 29 hektar di P Pinang
Diterbitkan:  Aug 1, 2018 9:49 AM
Dikemaskini: 1:54 AM

Tikus bendang memusnahkan hampir 29 hektar tuaian padi milik 50 petani di Kepala Batas, Pulau Pinang, lapor The Star Online hari ini.

Serangan bermula selepas kejadian banjir besar di utara Semenanjung Malaysia pada November tahun lalu yang turut melanda Pulau Pinang.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang (IADA) Mohd Nazri Abu Seman memberitahu harian itu bahawa sejenis tikus dengan nama saintifik Rattus Argentiventer menyelinap ke kawasan bendang sawah padi melalui sungai.

"Mereka mengikuti arus banjir dan sampai ke kawasan sawah bendang melalui saliran tali air," beliau dipetik berkata demikian.

Mohd Nazri menjangkakan masalah ini akan berterusan kerana tikus berkenaan memakan isi padi muda - menghalang pengeluaran bijirin - dan apa saja butiran padi yang dapat ditemukan.

Cepat membiak

Selanjutnya, beliau memaklumkan 50 petani tersebut merupakan kumpulan pertama yang mendapat serangan makhluk perosak itu kerana mereka ialah pesawah awal yang menanam padi dan mula menyemai benih pada pada April tahun ini.

"Pesawah tidak menanam serentak semuanya pada satu masa. Mereka ikut giliran mengikut kawasan," katanya, petik laporan itu.

Tikus-tikus ini membiak dalam kadar yang cepat - seekor dapat melahirkan lima ke 10 anak sebulan - dan anak tikus akan matang dalam tempoh tiga bulan selepas kelahiran, menurut laporan itu lagi.

Menurut Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Afif Bahardin, kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk membendung serangan tikus.

Jabatan pertanian negeri sedang bekerjasama dengan IADA untuk memohon bijirin beras yang diracuni, memasang perangkap dan menggalakkan burung hantu biasa memburu tikus dengan membina sarang untuk mereka.

"Sarang burung hantu itu direka untuk menarik burung untuk tinggal di ladang padi, atau sekurang-kurangnya hinggap di sana pada waktu malam bagi mencari tikus," kata Afif, petik harian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS