Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Sg Kandis sekadar 'hubungan strategik' dengan BN

Anggota Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata anggota parti itu tidak mempunyai pilihan selain mengundi BN pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, Sabtu ini.

Katanya, perkara ini memandangkan PAS menolak Pakatan Harapan kerana didakwa gagal menepati janji manifesto.

“Sebab kita tak boleh undi HARAPAN. Kalau tak undi HARAPAN nak undi siapa lagi?” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Khairuddin mengulas kenyataan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Raja yang mempersoalkan sebuah program parti Sabtu lalu yang dijadikan platform untuk kempen calon BN.

Timbalan ketua dewan itu Mohd Najib Arshad berkata ucapan beberapa pimpinan parti pada program itu tidak selari dengan kenyataan rasmi Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pada 22 Julai lepas.

Beliau juga berkata seruan itu menyalahi semangat Perlembagaan PAS, Fasal 82 (g) yang menyebut semua anggota PAS tidak harus melakukan tindakan yang merugikan parti.

Pada program itu, Khairuddin meminta pengundi PAS di Sungai Kandis memilih calon BN Datuk Lokman Noor Adam selepas mendakwa kerajaan tidak menjaga Islam.

Takiyuddin sebelum ini menasihati anggota PAS mengundi demi kepentingan Islam, Melayu serta masa depan negara dan meminta mereka membuat pertimbangan dengan mengambil kira sikap PAS terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Sementara itu, Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus berkata, PAS tiada kerjasama politik dengan Umno, sebaliknya hubungan dari sudut strategik.

“Kita tak ada sebarang kerjasama politik dengan Umno kerana sebarang kerjasama perlu keputusan dasar di peringkat majlis syura dan muktamar.

“Cuma kita ada hubungan dari sudut strategik, untuk PRK Sungai kandis, kita nak sampai mesej HARAPAN ditolak rakyat kerana berjanji tak ditunaikan.

“Sebab itu fokus kita menolak HARAPAN,” katanya.

Lihat Komen
ADS