Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Ismail Sabri saman peneroka Felda RM500k didengar 13 Ogos ini

Bekas menteri pembangunan luar bandar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap seorang peneroka Felda di Bera, Pahang kerana didakwa memfitnahnya di laman Facebook pada tahun lalu.

Peneroka Felda itu dikatakan mendakwa Ismail telah menyalahgunakan kuasa menteri dalam memberikan kontrak berkaitan Giatmara dan beberapa projek lain di sana.

Pendengaran saman itu telah ditetapkan pada 13 hingga 17 Ogos, di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Firuz Jaffril.

Tarikh itu dimaklumkan kepada pihak akhbar berikutan sesi pengurusan kes di mahkamah hari ini.

Ismail, yang Naib Presiden Umno dan Anggota Parlimen Bera, memfailkan saman itu pada Disember tahun lalu terhadap Zaid Omar, yang juga seorang kontraktor, berikutan hantaran Facebook yang dibuat pada 26 September tahun lepas.

Dakwaan beri makna tak layak jadi menteri

Ismail mendakwa hantaran Facebook itu sebagai memfitnahnya dan berkata penyebaran hantaran itu memberi maksud beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri.

Selain itu, kata beliau lagi, hantaran itu mendakwa Ismail juga melangkaui (bidang kuasa) ketua pengarah kementerian dalam melantik kontraktor untuk Giat Mara di Bera dan juga menghidupkan semula projek perumahan kos rendah yang terbengkalai di sana.

Zaid mendakwa taklimat mengenai projek-projek itu telah dilakukan di bangunan bahagian Umno Bera.

Ismail mendakwa Zaid bertindak dengan niat tidak baik dalam membuat hantaran berkenaan dan tidak meminta penjelasannya sebelum memuatnaik hantaran berkenaan di Facebook.

Menurut Ismail, hantaran Facebook itu memberi makna bahawa beliau tidak layak menjadi menteri.

Ismail dalam kenyataan mahkamah yang dilihat Malaysiakini berkata tuduhan (Zaid) itu merupakan serangan terhadap reputasi, perwatakan dan menyebabkan kebencian awam terhadap dirinya.

'Taklimat kementerian di bangunan Umno'

Dalam saman ini, Ismail memohon mahkamah memerintahkan peneroka Felda berkenaan membayar ganti rugi umum sebanyak RM500,000, ganti rugi teladan dan yang lebih teruk serta perintah injunksi bagi menghalang Zaid daripada membuat atau menerbitkan apa-apa pernyataan fitnah dan menanggung kos tindakan itu.

Manakala Zaid dalam kenyataan perakuannya kepada mahkamah juga menyatakan dirinya tidak bertindak dengan niat jahat dan menegaskan Ismail mengadakan dua taklimat berkaitan dengan kementeriannya di bangunan bahagian Umno, pada awal tahun lepas.

Zaid juga memperakui pembelaan justifikasi sebagaimana dakwaannya bahawa projek itu tersembunyi daripada pengetahuan kontraktor lain dan mereka yang dikaitkan dengan bahagian Umno telah diberikan kontrak.

Beliau juga mendakwa kontrak itu diberikan dengan cara yang tidak telus dan terbuka.

Selanjutnya, peneroka Felda itu memperakui pembelaannya dibuat dengan perlindungan bersyarat dan dibuat secara adil.

Zaid diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin dalam pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS