Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sesungguhnya negara Malaysia dan Indonesia itu bersaudara. Kita berkongsi banyak budaya, bahasa dan makanan.

Kita malah berkongsi seni tradisional yang sama, sungguhpun terdapat keunikan tersendiri antara dua buah negara serumpun kita ini.

Sebelum ini penulis ada keluarkan kenyataan yang menegur kedua-dua pihak Malaysia dan Indonesia agar kembali merujuk sejarah baik bersama ketika nenek moyang kita semua bergelar warga Nusantara (juga disebut Alam Melayu), yang ketika itu Malaysia dan Indonesia masih belum wujud.

Suatu masa dahulu, seluruh Nusantara (Alam Melayu) ini disatukan dalam satu empayar rumpun Melayu yang pertama iaitu Srivijaya.

Ia adalah empayar maritim terbesar di dunia ketika itu. Kita adalah kuasa maritim di zaman silam jauh sebelum wujudnya Melaka, sehingga catatan mengenai kehebatan pembuatan kapal dan pelayaran rumpun Melayu tercatat dalam catatan Dinasti China.

Empayar hebat Srivijaya ini akhirnya runtuh setelah diserang berkali-kali oleh kerajaan Tamil Chola dari Selatan India.

Sungguhpun begitu, penjajahan Chola ke atas Nusantara itu tidak bertahan lama atas sebab-sebab yang kurang jelas serta misteri.

Setelah kejatuhan Empayar Srivijaya, dunia Nusantara berpecah tanpa wujudnya satu kerajaan besar dan kuat seperti Srivijaya dahulu yang menguasainya.

Dari pecahan tersebut, maka bangkitnya kerajaan Langkasuka di tanah Patani dan Majapahit di Pulau Jawa. Kerajaan Langkasuka dari Patani sejahtera dan membesar sehingga memasukkan hampir keseluruhan kerajaan-kerajaan lain yang lebih kecil di sekitar utara semenanjung dan kawasan Segenting Kra.

Ini termasuklah Singgora (kini Songkhla), Cahaya (kini Chaiya), Grahi (kini Krabi), Chi Tu (Tanah Merah) di Kelantan, Kedah Tua (juga dikenali sebagai Kedah Zamin Turan), Gangga Negara di Perak, sehinggalah ke Terengganu dan sebahagian Pahang.

Majapahit di Pulau Jawa pula membesar dengan hebat sehingga berjaya menakluk sebahagian Sumatera, menyebar ke Pulau Sulawesi di tempat kerajaan Bugis Makassar, dan sampai ke pesisiran pantai Borneo Barat.

Sekarang Majapahit telah mencapai status sebuah empayar maritim. Ketika itu Empayar Majapahit belum lagi menyebar ke kawasan Semenanjung Tanah Melayu.

Kerajaan Langkasuka pula memasukkan wilayah Samudera Pasai (kawasan Aceh sekarang) ke dalam naungannya melalui perkahwinan diraja.

Pada masa yang sama, Champa (kerajaan Melayu Cempaka Sari) yang dahulunya terletak di negara Vietnam juga telah menjadi sebahagian dari Langkasuka juga melalui perkahwinan diraja.

Maka sekarang Langkasuka pun telah mencapai status sebuah empayar dengan nama Chermin. Atau kita panggil sebagai empayar Langkasuka-Chermin.

Sejarahnya ada tercatat dalam prasasti-prasasti Majapahit dan catatan Dinasti China.

Ketika pembentukan empayar Langkasuka-Chermin ini berlaku, bangsa Thai dari kerajaan Sukhothai di kawasan sempadan barat Indo-China yang dikenali sebagai Siam (utara dari Segenting Kra) berasa terancam dan melakukan serangan bertubi-tubi terhadap Langkasuka-Chermin.

Hampir semua wilayah Langkasuka-Chermin tersebut diserang Thai seperti Patani, Kelantan dan Kedah.

Sementara itu Champa yang merupakan sebahagian dari wilayah Langkasuka-Chermin diserang berkali-kali oleh bangsa Annam (bangsa majoriti rakyat Vietnam sekarang) dari arah utara.

Ramai Melayu Champa yang terbunuh dan masyarakat Champa akhirnya kehilangan kerajaan serta tanah mereka di sana ketika zaman Melaka (era selepas Langkasuka-Chermin).

Kini Champa sudah lenyap dalam negara Vietnam. Sebelum itu, bangsa Thai pula mendirikan kerajaan Ayutthaya setelah kejatuhan dinasti Sukhothai.

Ayutthaya juga mencapai status empayar setelah berjaya menawan kawasan Tanintharyi (Tenasserim/ Tenangsari) di perbatasan Burma dan kawasan Bangsa Khmer di Kemboja.

Bandar Angkor Wat milik Bangsa Khmer berjaya ditembusi oleh serangan bangsa Thai dari Ayutthaya.

Begitulah bagaimana Ayutthaya mencapai status empayar di kawasan bernama Siam tersebut.

Maka serangan Thai Ayutthaya ke atas Langkasuka-Chermin telah menjatuhkan empayar Melayu di utara semenanjung tersebut.

Lalu banyak kawasan-kawasan milik Langkasuka-Chermin ini tadi dijajah oleh Ayutthaya termasuk Kedah, Kelantan, Patani, Menara (kini Narathiwat) sehingga empayar bangsa Thai ini meneruskan misi penjajahan mereka sehingga lebih selatan lagi sampai ke Temasek (Singapura zaman silam).

Kerana itu apabila kita baca sejarah, di Temasek terdapat wakil kerajaan Thai yang bernama Temagi, yang dibunuh Parameswara semasa pengasas kesultanan Melayu Melaka tersebut melarikan diri dari Palembang dahulu.

 

RUJUKAN:

1) http://www.iwm.org.uk/collections/item/object/205059301

2) https://archive.org/details/kelantanstateofm00grah

3) http://www.muzium.kelantan.gov.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=55&Itemid=294&lang=ms

4) http://archive.li/TBDRU

5) https://www.royalark.net/Malaysia/kelantan.htm

6) http://ukmpress.ukm.my/index.php?route=product/product&product_id=327

7) https://ceritakankelantan.wordpress.com/2015/10/12/catatan-ibnu-batuta-tawalisi-kailukari-kisah-puteri-urduja/

8) http://pp-sk.blogspot.my/2014/12/lagenda-che-siti-wan-kembang-1318-1348.html

9) https://www.britannica.com/biography/Raja-Haji

 


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merangkap ketua Biro Integriti Pemudanya.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS