Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Larang perkahwinan bawah umur secara keseluruhan, tanpa syarat'

Kerajaan perlu mengenakan larangan menyeluruh terhadap perkahwinan kanak-kanak, kata aktivis sosial Datuk Marina Mahathir.

"Haramkannya, titik. Tiada 'jika' dan 'tapi', tiada syarat," katanya kepada pemberita ketika ditanya apakah langkah yang perlu diambil kerajaan berhubung perkara itu.

Marina berkata sukar untuk percaya bahawa perkara itu masih dibincangkan, walaupun isu itu kembali menarik perhatian ramai.

Beliau juga kecewa apabila melihat sebahagian besar perbincangan masih bertumpu kepada peraturan dan prosedur, bukannya hak dan kebajikan kanak-kanak yang dikahwinkan.

"Apa yang membuatkan saya kecewa adalah semua orang bercakap tentang peraturan, kawalan, prosedur, undang-undang.

"Tiada yang bercakap tentang kebajikan kanak-kanak (yang terlibat) sedangkan itulah sepatutnya yang menjadi fokus kita," katanya lagi.

Perkahwinan kanak-kanak kembali menjadi perhatian umum selepas laporan berkenaan seorang lelaki berusia 41 tahun menjadikan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya di Sungai Golok, Jun lalu.

Lelaki itu didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang bagi dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Pada masa ini, had umur perkahwinan bagi lelaki beragama Islam adalah 18 tahun dan perempuan 16 tahun, tetapi pengecualian boleh dibuat dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Bagi orang bukan Islam pula, had umur adalah 18 tahun, tetapi perempuan boleh berkahwin seawal umur 16 tahun dengan kebenaran menteri besar atau ketua menteri.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais)  baru-baru ini mencadangkan had umur perkahwinan bagi perempuan dinaikkan kepada 18 tahun.

Menurut jawapan parlimen bertarikh 15 November 2017, Kementerian wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berkata terdapat 10,807 perkahwinan bawah umur melibatkan orang Islam sejak 2007 hingga Oktober 2017.

Perkahwinan bawah umur pasangan bukan Islam pula sebanyak 4,999 bagi tempoh sama.
 

Lihat Komen
ADS