Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harakah bawa api permusuhan 'dinyala syaitan', kata Husam
Diterbitkan:  Aug 4, 2018 8:47 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa berang terhadap lidah rasmi PAS, Harakah yang didakwa memfitnahnya berhubung isu royalti minyak di Kelantan.

"Saya tidak pernah terbayang Harakah sebagai lidah rasmi parti ‘Islam’ sanggup menurunkan tarafnya menjadi sampah dunia akhirat," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Husam merujuk laporan muka depan Harakah Jumaat lalu bertajuk "PH serupa BN", yang disusuli sub tajuk berbunyi "PM ulang silap lampau, Husam tiru perangai Umno".

Laporan itu memetik kenyataan Husam mencadangkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menguruskan dana royalti minyak yang akan disalurkan ke Kelantan.

Husam bagaimanapun berkata, laporan tersebut ternyata "seratus peratus fitnah".

Menurut Husam rencana di bahagian dalam akhbar itu pula menyiarkan tajuk “Husam, LGBT, UEC dan Khazanah, ke mana Malaysia nak dibawa?".

"Api permusuhan yang dinyalakan syaitan nampaknya masih membara menjadi anutan dan pengeliruan berbaur penghinaan adalah jalan dipilih Harakah untuk menuju keredaan tuhan.

"Bolehkah keredaan tuhan dicapai dengan kemungkaran yang terlarang?"soalnya.

Tambahnya, pada tajuk yang digunapakai, Harakah menampakkan "kejijikannya" terhadap Umno, namun berbeza layanan pimpinan PAS terhadap parti Melayu itu terutama pada pilihan raya kecil di Sungai Kandis.

"Jika begitu, mengapa pula pimpinan PAS membesarkan laungan ahli PAS sunat/wajib mengundi calon Umno di Sg Kandis?" soalnya.

Lihat Komen
ADS