Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno: Undi Sungai Kandis protes pada k'jaan HARAPAN

PRK SG KANDIS | Umno menegaskan jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menunjukkan wujud protes dalam kalangan pengundi terhadap kerajaan HARAPAN.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat sesuatu yang tidak kena jika kerajaan kehilangan banyak undi berbanding sebelum ini.

“Saya berpuas hati dengan keputusan PRK ini kerana ada beberapa petunjuk yang kita boleh baca.

“Petunjuk pertama dengan peratusan keluar mengundi bawah 50 peratus menunjukkan bahawa ada satu protes oleh pengundi di sini.

“Protes sudah tentulah bukan kepada Barisan Nasional (BN) kerana BN bukan kerajaan. Jika protes, sudah pasti kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Sungai Kandis di Kampung Sungai Kandis, malam ini.

Difahamkan, peratus jumlah keluar mengundi ialah 49.8 peratus pada PRK itu.

Tunas perpaduan PAS-Umno

Mohamad juga berkata, dalam PRK ini, BN memperoleh 75 peratus undi iaitu 9,000 lebih undi daripada lebih 11,000 undi yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa dalam suatu kenyataan malam ini pula berkata PRK ini satu kejayaan BN halang PKR capai sasaran majoritinya, selain ia melahirkan tunas ke aras perpaduan Umno-PAS.

"Statistik keputusan PRK cukup signifikan. Undi PKR telah dapat dikurangkan hampir 8,500 atau separuh daripada yang diperolehi dalam PRU lalu.

"Bagi BN, ini satu kejayaan kerana dapat menghalang PKR mencapai sasaran majoritinya.

"PRK ini juga melahirkan tunas kerjasama ke arah perpaduan ummah yang lebih padu terutama melalui kerjasama awalan Umno-PAS," kata Annuar yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Sungai Kandis termasuk yang memprotes dengan cara tidak keluar mengundi.

Tiga sebab peratusan keluar mengundi rendah

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula memberi tiga sebab mengapa peratusan keluar mengundi yang rendah.

Pertama, katanya, adalah disebabkan oleh penyokong PKR terlalu yakin bahawa parti itu boleh memenangi PRK berkenaan disebabkan berada dalam kerajaan.

“Alasan lain adalah penyokongnya fikir ia tidak akan mempunyai perbezaan (jika mengundi). Mereka fikir jika mereka menang ia tidak akan mengubah kerajaan dan masih sama jika PKR kalah.

“Ketiga, mungkin ada protes terhadap kerajaan kerana semua janji yang dibuat ketika pilihan raya umum hanya satu saja dilaksanakan di mana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditukar kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mana ia lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata ia adalah petunjuk baik walaupun BN tidak menang pada PRK ini kerana pihaknya berupaya mengurangkan majoriti PKR.

Bagi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berkata perkara yang berlaku pada PRU-14 menjadikan pengundi fobia untuk keluar mengundi.

“Paling kecewa ialah saluran satu dan dua iaitu orang tua yang terpaksa naik sampai ke tingkat tiga untuk mengundi dan sangat tertekan serta tunggu terlalu lama dulu.

“Jadi, SPR perlu ambil tanggungjawab untuk membetulkan kesilapan pada pilihan raya lepas dan menyakinkan rakyat untuk percaya kepada sistem demokrasi kita yang mana memberi tempias kepada kerajaan BN sehingga tumbang,” katanya.

Lokman turut mendakwa ramai pengundi takut keluar mengundi antaranya disebabkan oleh mungkin beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan seperti melihat akaun bank dibekukan sesuka hati misalnya akaun cucu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ini termasuklah banyak pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta untuk meletakkan jawatan, sekaligus mencetuskan rasa takut.

“Jadi, ada rasa fobia dalam kalangan rakyat dan mereka takut sekiranya terlibat dalam pilihan raya ini, maka kedudukan anak mereka atau bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mereka perolehi akan terjejas dan sebagainya. Ini amat berbahaya untuk proses demokrasi.

“Jika kita lihat orang muda dan pengundi DAP Cina, mereka juga beri isyarat jelas kepada kerajaan HARAPAN bahawa mereka kecewa dengan kegagalan kerajaan untuk menunaikan janji pilihan raya dan ia diterjemahkan dengan tidak keluar mengundi,” katanya.

Beliau turut berkata pengundi kini sudah tidak percaya dengan kerajaan HARAPAN.

Dalam pada itu, Lokman berharap penyokong BN tidak kecewa dengan keputusan PRK itu kerana majoriti yang diperolehi PKR sudah turun.

“Ada indikasi yang jelas Umno dan BN masih relevan dan kedudukan pembangkang masih diperlukan,” katanya.

Lihat Komen
ADS