Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selesai isu orang asli baru fikir royalti, kata Pemuda HARAPAN K'tan

Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan menggesa kerajaan persekutuan memberi tekanan kepada kerajaan negeri Kelantan agar menyelesaikan isu yang melibatkan orang asli di Gua Musang.

Ketua Pemuda HARAPAN Kelantan, Mohd Khairul Amin Ab Rahman memberi cadangan supaya kerajaan persekutuan menekan dengan tidak melayan apa-apa tuntutan daripada kerajaan negeri termasuklah tuntutan bayaran royalti sehingga isu tersebut diselesaikan.

"Tidak ada gunanya berlembut dengan sebuah kerajaan yang menzalimi rakyat sendiri lebih-lebih lagi terhadap masyarakat Orang Asli yang sekian lama hidup dalam serba kekurangan.

"Pemuda HARAPAN Kelantan juga tekad untuk bertindak dengan lebih serius dalam membantu masyarakat orang asli menuntut hak Tanah Adat mereka selain akan terus komited memperjuangkan isu penjagaan hutan dari dimusnahkan pihak-pihak yang rakus dan berkepentingan," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan satu sekatan orang asli di Kaleg, Pos Tohoi yang didakwa dirobohkan pihak syarikat perladangan durian Musang King.

Kejadian itu berlaku selepas dua hari kunjungan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, R Sivarasa ke pejabat Jaringan Kampung Orang Asli (Jakoa) dan sekatan di Kaleh dan Cawas.

Mohd Khairul Amin berkata, tindakan merobohkan sekatan itu bersifat kurang ajar dan perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.

"Kami pemuda HARAPAN Kelantan sebelum ini terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantu perjuangan masyarakat orang asli suku Kaum Temiar menuntut hak Tanah Adat mereka.

"Isu ini bukanlah isu baru. Malah ia telah berlanjutan lebih daripada lima tahun sebelum HARAPAN ditubuhkan. Sepanjang krisis ini, wakil-wakil masyarakat Orang Asli lebih 10 kali secara rasmi dan tidak rasmi memohon supaya diadakan rundingan bagi menyelesaikan krisis ini," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, kerajaan negeri Kelantan hanya mengambil sikap berdiam diri daripada tampil melihat sendiri kerosakan yang berlaku akibat aktiviti pembalakan dan perladangan melampau.

"Justeru kami menuntut supaya kerajaan negeri Kelantan terutamanya menteri besar, timbalan dan exco-exco tampil membuat rundingan melibatkan wakil-wakil masyarakat Orang Asli, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, JAKOA, wakil-wakil syarikat perladangan dan semua pihak terlibat dengan kadar segera.

"Kementerian Kemajuan Luar Bandar harus campur tangan secara lebih serius mengikut bidang kuasa kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan krisis ini.

"Kedua-dua tuntutan ini bersesuaian dengan tuntutan masyarakat Orang Asli yang masih belum ditunaikan kerajaan negeri Kelantan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS