Paling Popular
Terkini

Perlu mengisi perut - itu tujuan asalnya. Dan lebih daripada itu kami perlu membuat persediaan secukupnya. Beberapa jam lagi kami akan mendaki.

Memanglah belum ada rezeki untuk menawan Rinjani tetapi seboleh-bolehnya kami tidak mahu pulang begitu saja. Menakluk Bukit Pergasingan yang ada berhampiran pun, jadilah.

Lalu kami mendapatkan bantuan Stuk dan Toyota Hiace miliknya untuk mencari tempat makan yang sesuai. Perut perlu diisi, kesihatan perlu dijaga dan tenaga perlu disediakan.

Jika tiada aral melintang jam 3 pagi nanti kami akan memulakan langkah mendaki Bukit Pergasingan.

Kami - aku, Nordin Bedu, Siti Hajar Ahmad, Abu Hussin Sulaiman, Zamira Hasimi, Khairul Nizam Minhat dan Mohd Farez Mohd Jeffery - melayan suasana awal malam itu seadanya.

Kami ialah anggota Backpackers Adventure Team di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok di Mataram kira-kira jam 10 pagi pada 2 Ogos lalu.

Dengar bunyi aneh

Kami berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 6.50 pagi hari berkenaan. Ketika itu kami sudah tahu Rinjani takkan dapat didaki kali ini kerana bencana gempa pada 29 Julai lalu.

Malah di lapangan terbang itu kami terserempak dengan kumpulan pendaki Malaysia yang dalam perjalanan pulang dengan perasaan sedih.

Kira-kira jam 7.40 kami bertolak dari tempat penginapan kami Pondok Rinjani Bu Sita di Sembalun dengan Stuk. Kira-kira 3km dari situ kami dikejutkan dengan bunyi yang tidak sepatutnya.

Ia lebih kepada bunyi dentuman seolah-olah ada motosikal yang berlanggar.

Selepas Stuk memperlahankan kenderaan barulah kami sedar - ada orang dan motosikal yang ditunggangnya terbabas ke longkang.

Dan itu bukan terjadi disebabkan kemalangan biasa.

Untuk seketika aku dan kawan-kawan mengalami perasaan yang aneh dan mengelirukan apabila Stuk memberhentikan vannya.

Kami berasa seperti dimain-mainkan ombak sedangkan kami bukan berada di lautan.

Sejurus kemudian barulah kami sedar memang ada yang tak kena.

Orang kampung mula berlari-larian dalam gelap malam. Sambil menjerit-jerit mereka bergegas meninggalkan rumah masing-masing dan mencari tempat lapang. Sebahagian mereka ialah wanita yang masih bertelekung.

Kami cemas. Dan ketika itu kami tahu Lombok sekali lagi diuji dengan gempa bumi.

"Rumah-rumah juga bergoyang," kata Stuk.

Belum pulih lagi

Kami pasti memang gempa bumi sedang berlaku tetapi belum tahu berapa kekuatannya. Kami sangat cemas. Seumur hidup belum ada antara kami yang pernah mengalami gempa bumi.

Justeru kami tidak mampu mengambil sebarang risiko.

"Mas, ke depan sedikit mas," kata Nordin kepada Stuk apabila kami mendapati ada tiang elektrik bersebelahan kami.

Bukan boleh percaya, kan?

Sambil itu aku berharap sangat orang kampung semuanya terpelihara daripada sebarang kecederaan, apa lagi kematian. Mereka belum benar-benar pulih daripada gempa seminggu lalu.

Dalam keadaan itu keputusan yang terbaik ialah kembali ke tempat penginapan kami. Maka kami meminta Stuk berpatah balik.

Dalam perjalanan suasana sudah gelap gelita kerana belakan elektrik sudah terputus. Orang kampung juga berkumpul di tempat-tempat lapang atau di bawah khemah. Sesekali ada ambulans berkejar membawa mangsa yang cedera.

Seorang pengsan, 3 menangis

Ada juga kelihatan penduduk kampung mendukung orang. Barangkali mereka itu mengalami kecederaan, atau mungkin juga memang uzur dan perlu dibantu.

Kami tahu, kami juga bakal 'bermalam' di tempat terbuka nanti. Lupakan katil atau bantal yang ada di dalam bilik. Bukan tindakan yang tepat untuk mengambil risiko berlindung dalam bangunan semasa keadaan begini walaupun Pondok Bu Sita itu ialah binaan setingkat saja.

Beberapa minit kemudian kami tiba semula ke Pondok Bu Sita. Secara kebetulan tidak ada tetamu lain kecuali kami di situ.

Ketibaan kami di situ disambut satu lagi kejutan. Salah seorang daripada empat pekerja hotel itu pengsan! Entah kerana panik atau apa.

Lagi tiga orang? Mereka menangis pulak! Biasalah, kejadian mengejutkan dan besar seumpama ini memang menguji semangat, walaupun mereka itu semua lelaki.

Justeru menjadi kewajiban kepada kami untuk menenangkan mereka.

Sehingga catatan ini ditulis (kira-kira jam 12 tengah malam) sudah beberapa kali gegaran susulan kami rasai. Dan debaran di hati belum reda lagi.

Oh ya, untuk makluman anda, selepas gempa bumi pada 29 Julai lalu kami tahu kami tidak akan dapat menaiki Gunung Rinjani. Lalu kami usahakan derma di kalangan rakan-rakan. Dapat juga kira-kira Rp5 juta.

Wang itu kami gunakan untuk membeli barangan keperluan yang dirasakan sesuai untuk penduduk Lombok yang menjadi mangsa gempa bumi minggu lalu.

Kami belikan mereka air mineral dan biskut-biskut dan ia sudah diserahkan kepada pihak yang berkenaan siang tadi (5 Ogos).

Semoga keadaan segera pulih dan penduduk Lombok terpelihara daripada dugaan lebih berat. Semoga semuanya selamat. Dan mudah-mudahan kami juga selamat pulang tak lama lagi.

- 1.15 pagi


AZIZUL IKHWAN MOHD ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS