Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Caj pembentungan MBJB tak pernah disemak selama 29 tahun

LAPORAN AUDIT | Kadar caj pembetungan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang digunakan sejak 1989 tidak pernah disemak semula atau dikemukakan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) untuk pelarasan atau pindaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 1 hari ini, secara umumnya keadaan itu menyebabkan kadar caj pembetungan MBJB adalah lebih rendah berbanding caj pembentungan Indah Water Konsortium (IWK) khususnya untuk premis komersil dan industri.

Bagi tempoh 2014 hingga 2016 MBJB telah mengutip caj pembetungan berjumlah RM11.83 juta dan telah membelanjakan sejumlah RM9.8 juta untuk penyenggaraan, pencegahan dan pembetulan loji rawatan kumbahan (LRK) awam.

Selain itu, laporan itu menyebut bil caj pembetungan MBJB juga dikenakan berdasarkan Seksyen 62, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang telah dimansuhkan melalui Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 1993.

"Pada pendapat Audit, tindakan MBJB menggunakan seksyen yang telah dimansuhkan dan tidak pernah dikaji semula sejak 1989 telah mengurangkan tahap kecekapan MBJB untuk melaksanakan pengendalian dan penyenggaraan LRK awam dengan berkesan kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi," kata laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, perbelanjaan penyelenggaraan LRK awam berkurangan setiap tahun kerana MBJB tidak membelanjakan 100 peratus daripada jumlah kutipan caj pembetungan yang bertujuan menyediakan rizab peruntukan penyenggaraan untuk kerja membaiki kerosakan luar jangka.

MBJB dalam maklum balas pada 21 Jun 2018 bagaimanapun menyatakan telah mengemukakan surat permohonan kepada SPAN pada 20 September 2017 untuk mengguna pakai kadar caj pembetungan IWK dan dipersetujui pihak SPAN.

Namun begitu, pihak audit tetap mengesyorkan supaya MBJB mengkaji semula kadar caj pembetungannya supaya sekurang-kurangnya menyamai kadar caj pembetungan yang diguna pakai oleh IWK agar MBJB memperoleh dana yang mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja pengendalian dan penyenggaraan LRK dengan lebih cekap.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS