PARLIMEN | Menteri Undang-undang Datuk VK Liew berkata kerajaan masih meneliti soal pemansuhan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN).
"Kerajaan masih meneliti sama ada akta ini patut dimansuhkan atau tidak," katanya ketika penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (HARAPAN-Bukit Gelugor) bahawa sama ada kerajaan akan memansuhkan akta "drakonian" itu kerana memberi terlalu banyak kuasa kepada perdana menteri, antaranya untuk mengisytiharkan darurat.
Liew berkata, kuasa mengisytiharkan darurat bukan terletak pada perdana menteri sahaja, tetapi perlu mendapat kelulusan anggota majlis yang lain seperti timbalan perdana menteri, menteri pertahanan, menteri komunikasi dan multimedia, ketua polis negara dan panglima angkatan tentera.
Ramkarpal kemudian mempersoalkan keperluan untuk membuat kajian kerana manifesto HARAPAN telah menyatakan akan memansuhkan akta itu.
Liew berkata sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menangani isu reformasi termasuk mengkaji semula undang-undang yang dilihat zalim.
"Saya yakin kerajaan akan menunaikan janji dalam manifesto, jadi beri kami sedikit masa untuk melihat keadaan, terutama Akta MKN.
"Apabila melibatkan soal keselamatan negara, kita akan melihat semua aspek bagi memastikan keselamatan negara tidak dikompromi," katanya lagi.
