Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan perkenal garis panduan kod pakaian patuh syariah swasta

PARLIMEN | Putrajaya akan menyediakan satu garis panduan kod pemakaian patuh syariah kepada syarikat swasta dijangka hujung tahun ini.

Menurut Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa, antara industri yang terlibat adalah perhotelan dan syarikat penerbangan.

"Isunya sekarang ialah untuk pihak swasta. Pihak kerajaan tidak timbul kerana mereka telah ada guideline dan mereka kena ikut guideline itu. Ini termasuklah isu-isu yang sebelum ini pakaian pihak MAS (Malaysia Airlines) - stewardess MAS contohnya," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Anggota Parlimen Parit Buntar itu berkata, perbincangan yang sedang mencapai fasa terakhir itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia dan bertujuan mengelakkan diskriminasi di tempat kerja.

"Saya harap dalam laporan itu boleh kita kemukakan cadangan yang lebih compliance kerana ini isu yang bukan sahaja Jakim yang ambil initiative tapi juga jabatan tenaga kerja. Ini termasuk isu diskriminasi di tempat kerja.

"Contohnya kalau di tempat swasta ada wanita yang memakai aurat, tutup aurat dengan cuba melaksanakan suruhan agama dia tetapi contohnya dipecat atau didiskriminasikan kerana pakaian dia.

Jawatankuasa diskriminasi pakaian tutup aurat

"Maka kita pun ada satu jawatankuasa yang akan ambil berat kepada mereka yang didiskriminasikan dalam tempat kerja kerana pakaian mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata garis panduan itu bukanlah suatu undang-undang yang mengikat syarikat swasta itu.

"Saya tak boleh kata (legally) binding kerana garis panduan itu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan kepada pihak swasta tapi sekurang-kurangnya kita sudah ada satu guideline," katanya.

Akhir tahun lalu, terdapat larangan pemakaian tudung kepada pekerja perkhidmatan pelanggan oleh beberapa hotel.

Berikutan kontroversi larangan tersebut, Datuk Seri Nazri Aziz yang ketika itu merupakan menteri pelancongan dan kebudayaan turut mengaitkan isu tersebut dengan membenarkan perkara yang sama kepada pramugari MAS semasa sesi penggulungan perbahasan Bajet 2018.

Lihat Komen
ADS