Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iksim: Mujahid fitnah dengan 'audit separuh masak'
Diterbitkan:  Aug 7, 2018 12:51 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) berkata kenyataan menteri agama Datuk Mujahid Yusof Rawa berkaitan audit terhadapnya bersifat fitnah.

Dalam kenyataan di laman webnya, institut itu juga mempertikaikan audit Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan menyifatkan badan itu bukan juruaudit bertauliah.

“Malah dapatan mereka masih bersifat separuh masak kerana belum dijalankan exit conference,” kata Iksim.

Exit conference adalah proses semakan melibatkan pihak peneliti dan pihak berkepentingan.

Iksim berkata mereka telah memberikan kerjasama penuh kepada audit dalaman sejak awal dan masih menunggu exit conference yang didakwa telah ditangguhkan tiga kali oleh MAIWP.

IKSIM, menurut kenyataan itu, telah menjawab semua soalan-soalan yang dikemukakan.

“Pihak IKSIM menyeru supaya semua pihak berpegang kepada etika kerja yang betul dan tidak melangkaui prosedur dengan mengemukakan pelbagai bentuk dakwaan sebelum semua proses audit lengkap sepenuhnya,” kata institut itu.


Menteri: RM7.4 juta perbelanjaan Iksim tak dapat dikesan


Mujahid semalam berkata audit dalaman MAIWP terhadap Iksim mendapati RM7.4 juta daripada RM7.6 juta peruntukan kepada badan itu tidak dapat dikesan perbelanjaannya.

Pada 19 Julai lalu, kerajaan telah mengumumkan pembekuan dana Iksim serta mengkaji sama ada mengekalkan atau membubarkan badan itu.

MAIWP antara pihak yang membiayai Iksim, kata Mujahid.

Berkaitan dakwaan RM7.4 juga tidak dapat dikesan, Iksim menegaskan ia berlaku kerana prosedur kerja dan tatacara perakaunan antara MAIWP dan Iksim berbeza.

“Setiap ringgit yang diuruskan perbelanjaan oleh Iksim mempunyai rekod terperinci dan boleh disemak dalam masa beberapa minit.

“Akan tetapi pasukan audit MAIWP menganggap perbezaan itu sebagai kesilapan,” kata Iksim.

Kenyataan itu juga menegaskan Iksim bukan anak syarikat MAIWP, sebaliknya tertakluk bawah akta syarikat dan telah diaudit bersih oleh juruaudit bertauliah.

Ancam tindakan undang-undang

Sementara itu, badan itu juga memberi amaran mengambil tindakan undang-undang terhadap Mujahid dan pihak yang memanjangkannya isu itu.

“Pihak Iksim ingin mengingatkan semua pihak bahawa kenyataan dan dakwaan yang telah dibuat berdasarkan laporan audit separuh masak oleh YB Mujahid Yusof Rawa di luar parlimen sebentar tadi (semalam) tidak diberikan imuniti (parlimen).

“Justeru sesiapa yang memanjangkannya boleh terjebak dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Iksim ditubuhkan hasil kesepakatan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), MAIWP dan Majlis agama Islam negeri-negeri, serta perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Penubuhan IKSIM, yang diperbadankan secara rasmi pada 9 Disember 2014, adalah cetusan idea bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia ditubuhkan untuk menjadi institut pemikiran yang bebas khususnya untuk memelihara kedaulatan raja-raja Melayu serta kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan.

Menurut laman webnya, Datuk Razali Shahabudin bertindak sebagai pengerusi majlisnya.

Lihat Komen
ADS