Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Hukum perkahwinan kanak-kanak hendaklah mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan di dalam sesebuah negara.

Justeru, melihat kepada kaedah maslahah, istihsan, sadd az-zara’ie, zuruf serta adat, sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan di bawah umur menurut undang-undang. Pengecualian hanya boleh dibenarkan bagi kes-kes tertentu sahaja, setelah menepati syarat-syarat yang ketat dan diperakui oleh pihak mahkamah.

Kami juga nyatakan di sini dengan tegas pendapat dan cadangan kami dalam isu ini:

Memahami sesebuah isu dan realiti setempat dan keadaan persekitaran perlu diambil kira dalam mengemukakan pendapat dan hukum.Kerajaan boleh dan perlu menggubal undang-undang yang lebih meraikan maqasid syariah dan menggabungkan antara nas syarak serta maslahah, yakni institusi keluarga yang penuh belas kasihan dan cinta.

Justeru di bawah prinsip siyasah syar’iyyah yang telah kami bahaskan, kerajaan berkuasa untuk menetapkan polisi mengehadkan umur minimum perkahwinan kerana ia termasuk di bawah kategori taqyid al-mubah (mengikat perkara yang harus dengan suatu maslahat) bagi menegakkan keadilan dan bukanlah bertujuan untuk mengharamkan apa yang Allah SWT halalkan.

Kaedah ini menjadi asas dan sudah menjadi polisi beberapa negara Islam seperti Jordan, Syria, dan termasuk negeri-negeri di Malaysia dan disokong oleh para ulama semasa seperti Syeikh Mustafa Siba’ie dan Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaily bahawa penetapan had umur minimum perkahwinan menepati tujuan sebenar pensyariatan nikah.

Hendaklah diberi kefahaman mendalam kepada pasangan yang ingin berkahwin berkenaan maksud, tujuan, cabaran dan tuntutan dalam perkahwinan. Alam rumah tangga memerlukan kedua-dua suami isteri mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi, dan perkahwinan kanak-kanak tidak memenuhi syarat ini.

Kami amat bersetuju dengan langkah proaktif pihak kerajaan negeri Selangor dan Majis Agama Islam Selangor yang mahu menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

Terdapat juga cadangan untuk mewajibkan hakim untuk mengarahkan kanak-kanak tersebut menjalani beberapa kursus kekeluargaan khas, menghadiri sesi kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta menjalani pemeriksaan perubatan yang dikendalikan oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.

Hakim juga akan diwajibkan untuk menyiasat kedudukan ekonomi bakal suami, rekod jenayah lampau (sekiranya ada) dan memanggil bakal suami atau bakal isteri dan bakal ibu bapa mertua atau mana-mana pihak lain untuk diambil keterangan sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan.

Meraikan uruf dan adat setempat yang tidak bercanggah dengan syariat seperti kaedah yang masyhur yang membawa maksud: “Adat itu boleh menjadi hukum” boleh diambil kira. Justeru, akta dan enakmen yang diwujudkan pada peringkat pusat dan negeri perlu diambilkira dalam membahas.

Ini juga mengambil kira kaedah fekah yang menyebut - Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum disebabkan perubahan masa dan tempat.

Imam Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya I’laam al-Muwaqqi’in menyebut: Sesungguhnya fatwa itu berbeza dengan berbezanya masa, tempat, adat setempat, dan juga keadaan tertentu.

Isu ini (perkahwinan kanak-kanak) bukanlah termasuk dalam perkara tsawabit yang tidak boleh berubah seperti akidah, solat, dan seumpamanya.

Bahkan ia termasuk di bawah perkara al-mutaghayyirat iaitu perkara furuk (cabang) yang boleh berubah dengan mengambil kira situasi semasa dan setempat.

Melihat kepada situasi zaman sekarang, di mana amat banyak perkahwinan kanak-kanak yang berakhir dengan perceraian dan penderaan ke atas wanita dan kanak-kanak, maka pihak pemerintah perlu mengambil tindakan sewajarnya menggunakan prinsip sadd az-zara’ie bagi mengatasi permasalahan yang timbul.

Justeru, sekiranya pemerintah di atas rasional dan kebijaksanaannya, setelah mengambil kira pandangan para agamawan berkenaan sesuatu isu, menetapkan suatu keputusan yang difikirkan lebih mendatangkan maslahah kepada rakyat, maka kita sebagai masyarakat awam dituntut untuk mengikutinya.

Tindakan (urus tadbir) pemerintah ke atas rakyat adalah terikat dengan maslahah. Pengecualian untuk kebenaran perkahwinan kanak-kanak perlu dilihat kepada kes yang khusus dan tertentu, dan perlu melalui prosedur yang teliti dan melepasi syarat-syarat yang ketat.

Contohnya, dalam kes perkahwinan remaja yang sudah terlanjur dan khuatir mengandung luar nikah yang boleh menyebabkan anak tersebut ternafi nasabnya.

Justeru, wali hendaklah memainkan peranan penting dan mengetahui sebarang bentuk risiko agar kemaslahatan perempuan yang berkahwin terbela dengan sebaiknya.


Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri merupakan mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS