Malaysiakini
BERITA

Mujahid: Tiada ikon lain?

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Ogs 2018, 10:01 pagi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa melihat tiada masalah dengan penurunan gambar aktivis lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) dari satu pameran di Pulau Pinang.

Menteri agama melihat gambar-gambar itu seperti mempromosikan gejala LGBT.

"Jadi untuk menghormati polisi kerana bagi saya kalau anda letakkan gambar bersama simbol dan ditulis aktivis LGBT, jika (dikatakan) tiada promosi, jadi apa sebenarnya definisi promosi?

"Tak kisahlah anda ingin katakan ia promosi untuk ikon merdeka. Adakah perlu ikon sedemikian? Tiada ikon lain (yang boleh ditampilkan)?

"Jadi, jika saya tidak berkata apa-apa mengenainya, kita dilihat seperti mencabar polisi yang kita katakan beberapa kali sebelum ini," katanya lagi.

Dalam pameran fotografi “Stripes and Strokes” di George Town bermula 4 Ogos itu, pada mulanya turut dipaparkan gambar dua aktivis LGTB Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bersama bendera Malaysia.

Nisha, seorang mak nyah, dipaparkan sedang memegang Jalur Gemilang manakala Pang pula menyangkut bendera Malaysia di bahu sambil memegang bendera pelangi yang menjadi lambang perjuangan LGBT.

Keseluruhan sebanyak 26 gambar dipamerkan, termasuk Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, veteran DAP Lim Kit Siang dan aktivis kontroversi Siti Kasim.

Mengecewakan, kata jurugambar

Sementara itu, jurugambar Mooreyameen Mohamad menyifatkan penurunan gambar itu sebagai mengecewakan.

Mooreyameen berkata beliau diberitahu penurunan karya itu susulan arahan Pejabat Perdana Menteri.

Seorang jurucakap PMO bagaimanapun menafikannya.

“Ia di peringkat negeri, tanya penganjur,” katanya.

Difahamkan penurunan itu dibuat susulan reaksi pengguna maya yang mengkritik aktivis LGBT terlibat di Facebook.

'Awak mahu saya tangkap mereka?'

Sementara itu, Mujahid juga turut ditanya berkaitan langkah kerajaan dalam menangani budaya itu.

Katanya, pelbagai langkah telah dilaksanakan kerajaan dalam usaha menangani masalah tersebut.

Bagaimanapun, kata Mujahid, tindakan hanya boleh diambil selagi tiada jenayah dilakukana atau selagi tidak mempromosikan gerakan itu.

"Apa yang kamu (wartawan) mahu saya buat? Awak mahu saya tangkap mereka-mereka ini?

"Anda mahu saya letak mereka dalam penjara sebab (aktiviti mereka)?

"Kedua bab mempromosikan (LGBT), kamu tidak boleh lebih dari itu. Ini langkah terbaik yang pernah kami buat dalam memastikan isu ini ditangani sebab awak kata tadi isu ini sensitif," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.