Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kumpulan wartawan: K'jaan patut segera tubuhkan majlis akhbar

ULASAN |  Tiga tahun yang lalu, pada 8 Ogos 2015, ratusan warga media berhimpun bersama di Bandar Raya Kuala Lumpur membantah penggantungan akhbar The Edge dan sekatan terhadap laporan mengenai skandal 1MDB.

Ramai antara warga media yang menyertai dan menyokong perhimpunan #AtTheEdge itu mendapat amaran, dikritik hebat malah dituduh dengan pelbagai kata-kata.

Sekatan akhbar The Edge dan laporan mengenai 1MDB itu dianggap merupakan salah satu anekdot yang membawa kepada pengenalan Akta Anti-Berita Tidak Benar sebelum pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang menjadi salah satu penggerak himpunan tersebut meluahkan rasa lega dan menyambut baik usaha memansuhkan Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Mewakili penggerak dan warga media yang percayakan kebebasan media, ini merupakan satu langkah positif kearah membentuk landskap media Malaysia yang lebih bebas.

Terima kasih diucapkan kepada mereka yang menyokong dan terlibat dalam himpunan tiga tahun lalu.

Kos etika kewartawanan

Selain itu, kami turut ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengamal media dan penyokong kempen "Lawan Berita Palsu Dengan Fakta, Bukan Akta" yang dilancarkan pada 26 Mac sempena bacaan pertama RUU Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 di Dewan Rakyat.

Kami percaya sokongan yang ditunjukkan melalui kempen media sosial tersebut telah sedikit sebanyak diambil perhatian oleh pimpinan kerajaan Pakatan Harapan yang pada waktu itu masih membentuk barisan pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional.

Susulan dari pemansuhan undang-undang anti-berita tidak benar, GERAMM menggesa agar kerajaan mempercepat usaha kearah pembentukan satu majlis akhbar yang bebas (independent press council) yang diketuai serta dianggotai oleh para pengamal media daripada pelbagai agensi, serta mana-mana pihak berkepentingan.

Mengambil contoh Indonesia sebagai negara jiran terdekat, GERAMM percaya sudah sampai masa bagi pengamal media di Malaysia merdeka dari kekangan pelbagai akta, dan sebaliknya menuju ke arah "self-regulation" bagi menyelesaikan pertikaian terkait apa-apa liputan berita.

Sebagai panduan, GERAMM telah menyerahkan satu draf pembentukan Independent Press Council kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Antara lain dokumen tersebut menyenaraikan kod etika yang boleh digunapakai oleh ahli majlis dilantik dalam menilai perkara-perkara yang dibawa kepada mereka.

Sekali lagi, GERAMM mengucapkan tahniah dan salam solidariti kepada semua kawan-kawan yang menyokong kami #kawangeramm.

 


GERAKAN MEDIA MERDEKA (dahulunya dikenali sebagai Gerakan Media Marah) atau GERAMM ialah kumpulan prokebebasan media Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS