Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid harap Najib tak terasa hati dianggap beban

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar  Datuk Seri Najib Razak tidak terasa hati dengan kenyataan pemimpin Umno yang menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai "beban".

Zahid juga menasihatkan agar bekas perdana menteri itu tidak terganggu dengan komen seperti itu.

“Saya harap Najib tak tersentak hati atau terasa hati dengan pendapat-pendapat yang sedemikian.

“Saya juga tidak mengharapkan minda dan perasaannya terganggu dengan komen yang sedemikian serta lalui proses perundangan yang sedang dijalankan ini dengan penuh ketenangan dan ketabahan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Zahid berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud kemungkinan pihaknya akan mengenakan tindakan kepada beberapa pemimpin Umno yang dilihat tidak senang dengan pendekatan mempertahankan bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa  berkata parti itu tidak boleh lagi membuang masa mempertahankan Najib.

Beliau juga menyifatkan bekas presiden Umno itu - yang kini berdepan tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram - sebagai "beban" yang tidak lagi boleh dipikul Umno.

Semalam, Ketua Umno Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula mempersoalkan keputusan parti menurunkan Najib ke Sungai Kandis untuk berkempen dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

Johari berkata Umno mungkin perlu merehatkan Najib pada pilihan raya kecil seterusnya memandangkan anggota parlimen Pekan itu berdepan perbicaraan mahkamah.

Belum didapati bersalah

Mengulas lanjut, Zahid bagaimanapun berkata Umno tidak akan mengambil tindakan terhadap Johari dan Annuar.

Jelas Zahid, pendekatan parti itu adalah dengan mengadakan perbincangan atau musyawarah, bukannya akur pendapat mana-mana pemimpin atau individu.

“Kita tidak akan ambil pendekatan yang begitu (menghukum), tapi kita mengambil pendekatan musyawarrah dan perbincangan baik,” katanya.

Selain itu, kata Zahid yang juga anggota parlimen Bagan Datok menasihatkan kepimpinan Umno agar saling menghormati.

“Saya mengambil pendekatan bahawa mana-mana pemimpin yang terdahulu harus dihormati kerana tidak ada yang sekarang, tidak ada yang dahulu.

“Yang lama menyayangi yang baru dan yang baru harus menghormati yang lama.

“Soal beban atau perkara-perkara yang lain kita belum dapat keputusan daripada mahkamah, dalam perlembagaan dan peraturan Umno selagi seseorang itu belum didapati bersalah maka peraturan menentukan jawatan itu masih dikekal di peringkat yang dipilih," katanya.

Lihat Komen
ADS